Monday, April 27, 2009

Jauh @ Menjauh




Saat indah bersamaMu. Ucapan zikir yang keluar dari mulutku tidak berhenti. Kekadang laju kadang perlahan sambil hati mengingatiMu. Namun kenapa hati ini selalu berubah? Alangkah indahnya jika hati ini sentiasa bersamaMu.

Sungguh kreatif musuhMu dalam menjauhkan diriku mengingatiMu. Tapi aku sedar, sesungguhnya akulah yang tidak kuat menentang musuhMu dan musuh manusia yang sebenar.

Bapa dan Ibu” kami digodanya supaya mengikut jejak langkahnya. Dicampak keluar dari tempat tersangat indah yang tak terbayang akalku. Sungguh kejam, keji engkau wahai Iblis! Kerana EGO dan BESAR DIRI, engkau sanggup dihina dan dibakar api yang tersangat panas. Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.

Namun aku akur dengan taqdirmu ya Allah. Sebelum mencipta bapa kami, Engkau telahpun khabarkan kepada para malaikatMu. “…Sesungguhnya Aku akan mencipta di muka bumi seorang khalifah”.

Tapi aku keliru, kenapa dua penyakit Iblis itu banyak sekali dalam jiwa makhluk yang dipanggil khalifah muka bumi. Ego dan besar diri, kekadang tidak disedaripun oleh jiwa yang dijangkiti penyakit itu.



Kami terlalu banyak dosa padaMu ya Allah, diri kami telah terjadi sebagaimana isyarat rasulMu. Pagi beriman petang kufur, pagi kufur petang beriman. Na’uzubillah min zaalik. Kami tak mampu untuk hidup di zaman fitnah ini tanpa pertolonganMu.

Ya Allah, tiada Tuhan selain Allah, demi Allah, tiada tuhan selain Engkau ya Allah. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami atas agamaMu dan atas ketaatan kepadaMu.

Aku lupa padaMu ya Allah tatkala mendapat nikmat. Syukurku tiada, namun nikmat yang Engkau berikan tidak pernah putus. Aku lalai ya Allah dengan 114 surah pemberianMu sebagai panduan hidup dan tanda cintanya Engkau pada hambaMu.

Ya Allah ampunilah kami yang jauh daripada solat, jauh daripada al-Quran, justeru terlalu jauh denganMu. Astaghfirullah hal’azim. Bukan kau ya Allah yang jauh, tapi kami ini yang menjauh.

0 komentar:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template