Tuesday, June 16, 2009

Masjid ar-Rahimah


Petang itu, 14 Jun 2009 bersamaan 20 jamadilAkhir 1430, selepas mengikut Abdul Bari
menunaikan solat maghrib di masid ar-Rahimah Batu Caves, aku pulang ke kediaman
sementaraku di Taman Desa Gemilang... Akademi Tahfiz Bestari, di situlah aku meletakkan khidmadku mendidik para pelajar... Aku sememangnya kurang pada ilmu, namun itu tidak menghalang aku dari terus mempertahankan pembawaan 'ad-Dinul Islam kulluhu' dalam kehidupan. Aku percaya khidmadku dapat menampung sedikit dari kelompangan yang ada dengan menitik-beratkan akhlak pelajar di situ.

Aku bersyukur, Allah memberikan aku sedikit ilmu di masjid ar-Rahimah melalui kulliyah maghribnya iaitu penerangan kepada hadis Nabi yang diriwayatkan oleh imam Bukhari yang bermaksud: "Sampaikan daripadaku walau satu ayat" Aku diperjelaskan dengan kepentingan dakwah yang meliputi seluruh manusia. Orang kafir diseru dengan kalimah syahadah, orang yang lalai diperingatkan, orang yang memerlukan nasihat diberikan.

Dalam perjalanan pulang menaiki jeep merah kepunyaan Abdul Bari, kami banyak
berbincang tentang dakwah - namun kami tidak sehaluan pada kefahaman. Aku mengerti
perkara ini biasa pada manusia yang jauh dengan zaman kenabian. Abdul Bari ialah
seorang yang terlibat secara langsung dengan jamaah Tabligh, sesekali dia merelakan diri mengikut bayan dan gasy yang dibawa oleh Dr Nasuha yang popular di kawasan sekitar masjid ar-Rahimah. Dr nasuha ialah seorang yang dianggap membawa reformasi dalam jemaah Tabligh, namun pemikirannya terlalu ekstrimis. Hanya dia dan mereka yang bergerak di bawahnya dianggap beriman dengan apa yang dikehendaki Allah.

"Lillahi! Seluruh manusia tak beriman lagi, hanya mereka yang disini yang
menjadikan setiap hari dengan kerja Nabi sudah beriman." Inilah perkataan yang tumpah ke telingaku daripada Dr Nasuha. Amalan mereka sememangnya amalan yang baik dengan gasy setiap hari selepas sedikit bayan tentang kebesaran Allah selepas waktu subuh. Mereka mengatakan ada kelainan pada mereka dengan jemaah Tabligh yang lain iaitu pada amalan hari-hari kerja nabi (gasy) dan mendakwah orang kafir. Betapa semangatnya mereka, selepas maghrib juga mereka gasy walaupun di masjid ketika itu ada majlis ilmu.

Selepas bayan yang disampaikan oleh Dr Nasuha yang habis kurang lebih pukul 7petang, aku mengajak Abdul Bari ke serambi masjid yang tiada orang. Sambil menanti
tibanya waktu maghrib aku memulakan dengan bicara "Secara jujurnya ana tak dapat terima dengan pemikiran Dr Nasuha yang seakan menolak ijtihad para ulama terdahulu tentang iman, dakwah, jemaah, dan sebagainya. Imam Syafi'e juga pernah berkata mungkin pendapat aku salah, orang lain betul" Abdul Bari masih dengan pemikirannya tetapi ada juga perkara yang tidak dapat diterima dari Dr Nasuha, itupun disebabkan Dr Nasuha dikatakan tidak mengikut tertib yang ditetapkan oleh Nizamudin (markaz jamaah Tabligh di India).

Aku mengeluarkan pendapatku kepada Abdul Bari tentang perpaduan umat. Aku
berpendapat umat ini akan bersatu jika dua perkara ini dipegang dan diamalkan
(insyaAllah). Itulah aqidah yang satu dan sikap 'mungkin kita betul dan dia salah,
mungkin juga kita salah dan dia betul'. Kita sebagai orang awam yang mengikut mazhab
atau pendapat ulamak hendaklah berlapang dada dengan khilaf yang berlaku disamping
berusaha mencari kebenaran. Kita mesti berpegang dengan apa yang digariskan oleh
Nabi s.a.w. bahawa ijtihad ulamak itu kalau benar dua pahala dan kalau salah satu
pahala.

Walaupun kita menggelarkan diri sebagai orang awam, tetapi kita mesti juga
membasahkan dada dengan ilmu terutama ilmu fardhu Ain... Allah s.w.t. mengatakan orang yang beriman yang berilmu diangkat darjat mereka... Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
"Tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang-lahad." Dan Nabi s.a.w. juga pernah bersabda (maksudnya): "Menuntut ilmu itu fardhu ke atas setiap muslim" Ulamak menyatakan
arahan sebegini (muslim) termasuk muslimat juga.

Sesampainya aku di Akademi Tahfiz Bestari - Firdaus, seorang Designer yang berasal dari Sabah mengajak aku menemaninya ke Pasar Larut Malam Danau Kota atau dikenali juga dengan nama Uptown. Jam sudah menunjukkan 10.30 malam, namun aku berasa tidak selesa untuk mengecewakan kawan dengan perkara yang aku mampu lakukan. Tubuh yang letih, aku gagahi jua menaiki motosikal menuju ke Danau Kota... Habis berbelanja, kami pulang ke Akademi kurang lebih pukul satu pagi.

0 komentar:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template