Sunday, May 24, 2009

Ilmu dari Seorang Ayah

Di kala sang Bayu menggosok lembut pada permukaan dedaun Nyiur, lalu dibalas
dengan lambaian. Aku memerhati dengan pandangan yang agak tajam sambil otakku
ligat memikirkan betapa indah ciptaan Tuhan. Aku dapat merasakan ketika itu
neuron-neuron dalam otakku saling berhubungan.

“Alhamdulillah" kalimah pendek itu meluncur laju melangkah dua bibirku. Terasa kerdil bila melihat ciptaan Allah. Hatiku tenang bila terasa Allah bersama, ditambah dengan bunyi alunan zikir oleh burung dan makhluk lainnya memuji dan bertasbih membesarkan sang Pencipta.

Entah kenapa terdetik di hati, teringat kembali pelajaran lama yang susah nak dapat. Aku hanya perolehnya secara percuma dari seorang ayah yang hanya berkelulusan darjah satu sekolah melayu (itu pun tidak lama). Mungkin kerana melihat lambaian lembut yang dibalas (mungkin tanda berterima kasih) tatkala mendapat hempasan sepoi bahasa.


Ilmu itu ringkas, pendek kalimahnya, padat isinya, tersimpan seribu makna,
ILMU TAKSIR diberi nama. Itulah ilmu yang sungguh besar bagiku dari seorang ayah
yang tidak berpendidikan formal. Ayatnya kecil, namun nilainya tak terkira buat
seorang anak yang membutuhkan makna.

Cuba guna ilmu taksir sikit, kalau kita tak suka orang lain pun sama." Nasihat ayahku dengan nada yang marah tatkala melihat aku melastik ayam jiran. Ketika itu aku tidak mengerti apa yang diucapkan oleh ayah. “Apakah itu ilmu tafsir?"
Tanya hatiku pada diri.

Sekarang aku telah mengerti, hanya dulu aku yang silap dengar dan kurang pada bahasa. Ilmu taksir itu ilmu imbalan kehidupan, jika apa yang berlaku pada kita tidak disukai, begitu juga makhluk lain. Sebagai contoh, kita suka dihargai bila berbuat baik, begitu juga orang lain sukakan penghargaan itu. Apalah salahnya jika diucap terima kasih sebagai imbalan pada pemberian.

Itulah ajaran dari seorang ayah yang mahukan kehidupan anaknya penuh dengan
akhlak dan adab. Dia telah menjadikan dirinya sebagai ‘madrasatul ula' sekolah pertama bagiku semasa kecil.


aku ini ibarat rebun yang akan mencari buluh dan melihat pemandangan dunia yang penuh dengan tipu daya.

Terima kasih tak terhingga kepada ayah yang telah bertungkus-lumus membesarkan kami adik beradik bergandingan dengan ibu. Walau secarik nasihatmu tapi membawa makna kehidupan. Ikhlasnya dirimu hanya Allah yang dapat memberi ganjaran.

Monday, May 18, 2009

malaysia oh malaysia

Perak gegar!!
7 mei, gegar!!
sidang dun gegar!!
manakah demokrasi?
manakah suara rakyat?
manakah pemimpin adil?
manakah Malaysia satu?
manakah undang2 Allah?

pasti dan pasti..
formula RAHMAN..
confirm jadi..
tunggu dan perhati..
malaysia berubah..

tentang tetap tentang,
sebar tetap sebar,
yang benar tetap benar,
tunggu dan perhati,
malaysia berubah.

orang no 1 malaysia..
penyamun mongolia..
janganlah disia-sia..
peluang yang terbuka..
rakyat makin terbuka..
tidak mengharap lagi..
kerajaan dulu kala..
tunggu dan perhati,
malaysia berubah.

bingung

aku bingung dengan manusia zaman ini...
mereka mencari dunia...
dunia datang...
mereka mencari pangkat...
pangkat datang...
hanya sedikit usaha dibutuhkan...
tapi kenapa mereka tidak mencari Tuhan...

Friday, May 8, 2009

Jentayu Menanti Hujan

Sempena hari ibu pada 13 Mei(walaupun awal lagi)aku ingin berkongsi perasaan yang terasa oleh diri sewaktu di alam kolej dulu...SELAMAT HARI IBU KEPADA PARA IBU YANG TELAH BANYAK BERKORBAN UNTUK ANAK-ANAK.

Perasaanku hiba bila skrin computer memaparkan gambar-gambar keluarga. Aku tenung wajah ibu sepuas hati. Sedih mengenangkan raya haji kali ini aku tidak pulang. Bukan kerana tidak dapat pulang, tapi aku harus berjimat. Cuti semester 2 minggu lepas telah digunakan untuk pulang.

Handphone di sisi terus dicapai, lantas menekan punat-punatnya mencari nombor telefon adikku. Tut…tut…tut…tiga saat berselang kedengaran handphone diangkat. Masih lagi aku ingat pada malam itu aku berborak dengan ibu dengan masa yang lama. Namun terasa bagai lima minit.

Itulah raya pertama aku tanpa keluarga. Masih terbayang di ingatanku betapa rindunya aku ‘laksana jentayu menanti hujan’. Walaupun kampungku tidaklah sejauh kawan-kawan yang lain. Namun perasaan di hati ini tidak dapat dinilai dengan jauhnya jarak.



Tiga tahun telah berlalu, aku di bawah sepohon pokok yang rendang dengan banirnya mencapai pehaku. Mulanya hanya ingin berehat selepas penat berjalan. Ternyata hanya tubuhku yang berehat,otak terus saja berjalan memikirkan apakah hikmah yang bakal Allah berikan pada perjalanan kali ini.

Terfikir aku bagaimanakah perasaan ibuku ketika itu. Berjauhan dengan anak yang tidak pernah ditinggalkan. Tidak pernah lagi dirasakan harinya tanpa melihat anaknya yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh.

Setelah terbiasa meninggalkan kampung halaman, aku makin dapat merasakan kerinduan ibu semakin membara. Masih lagi terbayang di kepala, bagaimana dulu ibu meminta aku menelefonnya sebulan sekali. Namun semakin lama permintaan ibu berubah supaya aku menghubunginya seminggu sekali. Betullah kata orang-orang yang berfikir:
“semakin dewasa seorang anak semakin rindu si ibu kepadanya”.
Hanya si anak seringkali tidak nampak akan perkara itu kerana sememangnya para ibu akan cuba menyembunyikan perasaannya.

Namun aku tidak amanah dengan permintaan ibu. Kadang aku leka, kadang aku lalai, lupa dengan kehidupan dunia yang sementara.
Ya allah, berilah aku kekuatan untuk memenuhi permintaan ibuku…Aku mohon
padaMu ya Allah agar aku tidak menjadi seperti al Qamah melebihkan isteri, tidak
pula seperti Tanggang dongengan anak derhaka. Ya Allah, Kau rahmatilah kedua ibu
bapaku sebagaimana mereka memelihara aku semasa kecil.

Monday, April 27, 2009

Jauh @ Menjauh




Saat indah bersamaMu. Ucapan zikir yang keluar dari mulutku tidak berhenti. Kekadang laju kadang perlahan sambil hati mengingatiMu. Namun kenapa hati ini selalu berubah? Alangkah indahnya jika hati ini sentiasa bersamaMu.

Sungguh kreatif musuhMu dalam menjauhkan diriku mengingatiMu. Tapi aku sedar, sesungguhnya akulah yang tidak kuat menentang musuhMu dan musuh manusia yang sebenar.

Bapa dan Ibu” kami digodanya supaya mengikut jejak langkahnya. Dicampak keluar dari tempat tersangat indah yang tak terbayang akalku. Sungguh kejam, keji engkau wahai Iblis! Kerana EGO dan BESAR DIRI, engkau sanggup dihina dan dibakar api yang tersangat panas. Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.

Namun aku akur dengan taqdirmu ya Allah. Sebelum mencipta bapa kami, Engkau telahpun khabarkan kepada para malaikatMu. “…Sesungguhnya Aku akan mencipta di muka bumi seorang khalifah”.

Tapi aku keliru, kenapa dua penyakit Iblis itu banyak sekali dalam jiwa makhluk yang dipanggil khalifah muka bumi. Ego dan besar diri, kekadang tidak disedaripun oleh jiwa yang dijangkiti penyakit itu.



Kami terlalu banyak dosa padaMu ya Allah, diri kami telah terjadi sebagaimana isyarat rasulMu. Pagi beriman petang kufur, pagi kufur petang beriman. Na’uzubillah min zaalik. Kami tak mampu untuk hidup di zaman fitnah ini tanpa pertolonganMu.

Ya Allah, tiada Tuhan selain Allah, demi Allah, tiada tuhan selain Engkau ya Allah. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami atas agamaMu dan atas ketaatan kepadaMu.

Aku lupa padaMu ya Allah tatkala mendapat nikmat. Syukurku tiada, namun nikmat yang Engkau berikan tidak pernah putus. Aku lalai ya Allah dengan 114 surah pemberianMu sebagai panduan hidup dan tanda cintanya Engkau pada hambaMu.

Ya Allah ampunilah kami yang jauh daripada solat, jauh daripada al-Quran, justeru terlalu jauh denganMu. Astaghfirullah hal’azim. Bukan kau ya Allah yang jauh, tapi kami ini yang menjauh.

Thursday, April 23, 2009

Persahabatan


Begitu lama jari-jemari tidak menekan punat-punat keyboard.
Terasa haus untuk bergerak mengikut rentak ejaan.
Namun apa yang boleh dibuat oleh jari.
Otak tidak mengizinkan, hati tidak membenarkan.

Meneraju isu bukannya mudah.
Tetapi pokok kepada masalah suatu isu.
Boleh dijadikan hujah...
Dunia semakin maju, rakyat semakin tahu.
Membaca menjadi minat baru.

Dengan tumbuhnya pelbagai wadah untuk disalurkan faedah.
Namun banyaknya jua unsur negatif...
Tidaklah dapat dihindari.
Dengan dunia di hujung jari...

Kini kegembiraan terserlah, bila ia dapat berjalan perlahan,
Sesekali berlari laju di atas trek keyboard .
Walaupun dengan sedikit lakaran pesanan...

Di kesempatan yang pendek ini.
Demi menyahut panggilan globalisasi.
Insan yang lemah dan kerdil ini, ingin menyajikan.
coretan lama...
Penuh dengan pesanan.
Allah ketemukan semula tulisan itu...
Bertarikh 5 Mac 2007.
Ringkas tapi penuh makna...

BUAT SAHABAT
Bersama-samalah kita menegakkan,
Panji Islam yang rebah.
Binalah ukhuwah Islamiyah,
Walaupun datangnya ujian Ilahi.

Jagalah hati sahabat dan saudara.
Kerana akibatnya...
Tiada berkesudahan.
Walau terjalin semula.

Ada sedikit yang takkan tanggal.
Tapi ingatlah satu perkara.
kita rasa kita dijauhkan,
Mungkin kita menjauhkan.

Berilah satu harapan,
Dalam mencari kebenaran.
Mengikut rentak yang ditentukan.
Al Quran sebagai pedoman.
Sunnah rasul sebagai acuan.

Thursday, March 5, 2009

SEUNGKAP ZIKIR MERUNGKAI KETENANGAN



“Tiada daya (daripada mengelak maksiat) dan tiada upaya (mengerjakan taat) melainkan dengan izin dan pertolongan Allah yang maha tinggi lagi maha agung”, satu ungkapan yang sungguh bermakna buatku hari ini.

Aku renunginya sedalam mungkin yang dapat dijangkau pemikiranku yang sangat cetek dibanding ilmu Allah. Hatiku terasa berupa getaran yang telah mendesak mata mengeluarkan airnya. Hati ini terus teringatkan dosa-dosa semalam.

“Oh hinanya aku di sisiMu ya Allah” perkataan itu terus meluncur di mulutku dengan pergerakan dua bibirku. Aku terkenangkan nikmat yang telah diberikan kepadaku namun jarang kusyukuri.

“Maka nikmat tuhanmu yang manakah kamu telah dustakan”. 5 deria pada badan, rasa, bau, sentuh, dengar, dan pandang. Hanya diguna tapi tidak perasan apa yang Allah kurniakan tidak dibalas dengan kesyukuran.

Hari ini ku mendapat ketenangan hanya dengan beberapa patah perkataan, “Tiada daya (daripada mengelak maksiat) dan tiada upaya (mengerjakan taat) melainkan dengan izin dan pertolongan Allah yang maha tinggi lagi maha agung”. Ku ulang-ulang sambil kurenungkan.

Begitu agung kedudukanMu tuhan, zikir kepadaMu membawa ketenangan. “Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram”. Ku menyambung lagi ulangan ayat itu, hatiku bertambah tenang.

Namun aku khuatir Allah tidak membiarkan lama ketenangan itu bersarang, aku takut pintu sangkar dibuka, lalu terbang dan terus hilang. “Ya Allah tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam agamaMu dan dalam mentaatiMu…aamiiin”.

Seungkap zikir itu telah mengubah keadaanku dari alam kekacauan emosi kepada alam ketenangan diri. Ketenangan itu yang kucari, bukan kegembiraan, bukan keseronokan. Dengan ketenangan semuanya dapat kurangkul dengan senang. Allah jua tempat bersyukur. “sekiranya kamu bersyukur, nescaya Kami tambah (nikmat) kepada kamu.

Ya Allah aku ini hambamu yang lemah, bimbinglah aku ya Allah untuk terus bersyukur dengan nikmat Mu yang berjuta, beribadah demi mentaatiMu, berakhlak dengan akhlak kekasihMu, terus mencari ilmuMu yang tersedia, menyampaikan kalimahMu ke merata untuk menegakkan agamaMu dan mentadbir dunia dengannya. Ya Rahman Ya Rahim Ya Dzaljalali wal Ikram…aamiiin Ya Rabbal ‘alamin.

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template