Menurut Ibn Ishak, Nabi Muhammad dilahirkan pada hari isnin 12 Rabiul Awal tahun Gajah bersamaan 20 April 571 M. Nama penuh baginda ialah Muhammad b Abdullah b abd Mutalib b Hasyim b Abd Manaf b Qusay b Kilab b Murra b Kaab b Luay b Ghaleb b Fihr b Nadhir b Kinanah b Khuzaimah b Mudrika b Ilyas b Mudor b Nizar b Maad b Adnan b Ismail b Ibrahim a.s. Nama Muhammad diberikan oleh datuk baginda, Abd Mutalib, yang bermaksud “Yang Terpuji”.
Ketika kecil baginda disusui oleh Halimatus Saadiah daripada bani Saad, selama dua tahun. Bapanya, Abdullah meninggal dunia semasa baginda masih dalam kandungan. Kemudian diikuti oleh kematian ibunya, Aminah di Abwa ketika baginda berusia enam tahun. Selepas kematian ibunya, baginda dijaga oleh datuknya, Abd Mutalib. Penjagaan baginda diambil oleh bapa saudara sebelah ayahnya, Abu Talib selepas kematian Abd Mutalib. Ketika itu baginda baru berumur lapan tahun.
Nabi Muhammad dikenali oleh masyarakat Quraisy sebagai orang yang jujur. Jesteru, mereka menggelarnya dengan gelaran al-Amin yang bermaksud “Manusia yang Dipercayai”. Ketika berumur 25 tahun, baginda mengahwini seorang wanita mulia daripada kabilah Quraisy bernama Khadijah binti Khuwailid. Ketika itu Khadijah berumur 40 tahun.
Ketika berumur 40 tahun, baginda suka memencilkan diri dengan bertapa di gua Hira. Di situ baginda dikurniakan wahyu pertama dan dilantik menjadi rasul bagi seluruh alam pada 17 Ramadhan bersamaan 6 Ogos 610 M. Dengan itu bermulalah dakwah nabi Muhammad yang penuh onak dan duri di bandar Mekah.
Pengisytiharan baginda sebagai rasul ditentang hebat oleh masyarakat Quraisy terutama selepas kematian Khadijah dan Abu Talib. Akhirnya selepas 13 tahun berdakwah di Mekah, Allah mewajibkan baginda dan umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah . Penghijrahan ini membuka jalan kepada penubuhan negara Islam pertama di Madinah, sekali gus menjadi pemangkin kepada pengembangan dakwah Islam ke seluruh dunia.
Setahun selepas hijrah, berlaku perang pertama antara umat Islam dengan golongan kafir Quraisy yang dikenali sebagai Perang Badar. Peperangan ini dimenangi oleh umat Islam dan ia berjaya membuka mata dunia pada kekuatan umat Islam ketika itu. Akhirnya pada hari jumaat 10 Ramadhan tahun kelapan Hijrah, umat Islam dari Madinah berjaya menakluki Mekah dan mengusainya.
Selepas menguasai Mekah, Nabi Muhammad melonjakkan dakwah Islam ke peringkat antarabangsa dengan mengajak pemimpin-pemimpin dari luar negara memeluk Islam. Dakwah ini menggegarkan empayer Rom dan Parsi dan ia menjadi batu asas kejatuhan kedua-dua empayer itu ke tangan orang Islam. Nabi Muhammad wafat pada hari isnin 12 Rabiul Awal tahun ke sebelas hijrah ketika umurnya 63 tahun.
“Tidak beriman seseorang itu sehinggalah dia menyintai daku lebih daripada cintanya kepada kedua ibu bapanya, anak-anaknya dan seluruh manusia sekalianya”.
(maksud hadis)
0 komentar:
Post a Comment