Showing posts with label Pesanan. Show all posts
Showing posts with label Pesanan. Show all posts

Tuesday, June 16, 2009

Tiga Perkara yang Akan Ditinggalkan

"Mereka berbangga dengan ilmu yang ada, ego dengan kemuliaan keturunan yang tersedia, megah dengan harta berjuta, dan sombong pada nama. Apakah mereka lupa semuanya bukan milik mereka, hanya diberi pinjam sementara. Apakah mereka lupa semua itu akan ditanya. Ke manakah dipergunakannya?". Tersusun ayat yang dikemukan oleh ustaz Mad(panggilan glamour bagi ustaz di sebuah kampung di Kelantan) dengan soalan di akhirnya.

Saya ketika itu hanya berada di penjuru kanan di belakang surau. Namun saya dapat mendengar kalimah-kalimah yang disampaikan dengan jelas dan terang kerana speaker tersergam indah dengan kaki besi sebagai tapak hanya berada dalam jarak 8 kaki di tepi. Saya terus menadah telinga mendengar ucapan keramat dari seorang ustaz yang berkelulusan pondok tempatan.

Pelbagai ragam dapat dilihat dalam majlis ilmu itu, dari yang umurnya menjangkau 70-an hinggalah kanak-kanak lingkungan umur 5 tahun. Ada yang menulis untuk menambat ilmu yang didapat supaya tak terlepas, ada pula yang buka topik sesama sendiri di beranda surau, tak terlepas yang mengambil peluang bertanya soalan menginginkan kefahaman. Anak muda pula jarang yang kelihatan, kalau yang ternampak batang hidung hanyalah 2,3 orang.

Umurnya mencecah 60, datangnya dari jauh hanya dengan motor Honda 70CC yang berlampu bulat. Namun dia tidak mengerti jerih, tidak merasa payah datang mengajar manusia, merelakan dirinya menjadi 'saluran Allah' memberi ilmu kepada mereka yang menjadi pilihan Allah. Walaupun ada manusia tidak mahu menjadikan peluang yang ada untuk mengisi jiwa yang gersang.

"Harta, pangkat, isteri semua itu amanah Allah" ustaz Mad menyambung kuliahnya. Ustaz Mad menerangkan bahawa semua yang ada pada manusia tak akan dapat dibawa ke kubur kecuali 3 perkara yang diisyaratkan oleh penghulu segala nabi. Harta itu kalau disedekahkan dengan niat ikhlas, ilmu itu kalau yang dimanfaatkan, dan anak itu kalau yang soleh yang selalu mendoakan ibu bapanya.

Harta, jangan jadikan ia sebagai hak. Lebihkan peranan dalam hidup dengan mengajar dan melatih diri kepada konsep memberi. "tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah" maksud hadis itu telah membuat ukuran, yang memberi lebih mulia dari yang menerima. Hukum Allah juga tidak sama dengan logik manusia. Bila memberi makin bertambah. Manusia pula banyak yang mengikut dan percaya logik akalnya, bila memberi makin habis.

Ilmu, jangan jadikan ia sebagai hak. Lebihkan peranan menyalurkan, menjadikan diri sebagai saluran. Ilmu Allah ibarat air bersih yang melalui paip dari tangki menuju ke tempat kediaman. Jadikan dirimu saluran yang baik kepada ilmu Allah, bukan seperti paip yang berkarat menjadikan air bersih, kuning kemerahan disebabkan karat yang terlekat pada permukaan. Bersihkanlah diri dengan ilmu itu supaya ilmu itu sampai dengan bersih dan suci.

Anak, jangan jadikan ia sebagai hak. Ingatlah bahawa anak itu amanah dari Yang Maha Memberi. Pandanglah ke belakang zaman, lihatlah pentarbiyahan nabi Muhammad yang juga bergelar sebagai ayah dan datuk kepada anak dan cucu. Jangan jadikan zaman sebagai alasan, kerana pendidikan nabi sesuai hingga ke hari di mana unta mengandung dibiarkan dan binatang buas dikumpulkan. Amanah itu mesti dididik dengan Islam. Islam yang kafah dan syumul. Bermula dengan ma'rifatullah sematkan dalam diri anak-anak.

Persoalan demi persoalan diisi ke kotak pemikiran para pendengar (dijawab sendiri oleh ustaz) di samping penerangan yang jitu. Ustaz Mad menghabiskan kuliyah maghribnya pada malam itu dengan doa penuh berjiwa. Kalau diteliti makna dari alunannya boleh membuatkan mata mengeluarkan air yang jernih, ditoreh dengan ketajaman alunan doa. Kami solat Isya bersama selepas Bilal mengalunkan Iqamat.

Tuesday, June 2, 2009

114 Surat Cinta itu…

Semasa aku menaip mesej itu, aku merancang untuk menghantarnya kepada semua kawan-kawan, namun ada juga yang terlepas. Jari terus menekan keypad handphone, lalu skrinnya memaparkan:
“Adakah telah dibaca surat cinta itu?
Adakah telah difahami surat cinta itu?
Adakah telah diamalkan surat cinta itu?
Adakah telah dibalas surat cinta itu?
114 surat cinta itu…
Sekadar renungan diri…”




Aku memilih send to many dan menghantarnya. Seketika, aku mendapat respon mesej balas berupa pertanyaan. Ada yang membalas aku tersilap hantar mesej (mungkin pemikirannya kepada cinta dunia), ada juga yang bertanya ayat 114 daripada surah mana (faham apa yang dimaksudkan, tapi tak faham 114 itu), ada pula yang ringkas balasnya “tak faham”.

Mungkin mereka tidak mengerti dengan perumpamaan itu. Al-Quran itu mesti dibaca. Kalaulah kita baca surat cinta, pasti tidak hanya sekali, malah ingin dibaca berkali-kali. Al-Quran juga mesti dibaca seperti membaca surat cinta, malah lebih lagi kerana ia adalah Kalam Allah yang tiada tandingan dengannya.

Ada satu kisah tuan guru dan muridnya. Si murid disuruh membaca Quran, dijawabnya “tok! ajarlah saya maknanya, apa gunanya membaca Quran tapi tak faham”, namun gurunya masih menyuruh membaca Quran. Sekali lagi dia datang menemui gurunya, “Tok! saya berasa membaca tanpa memahami adalah suatu yang tak berfaedah”. Si tuan guru malah menyuruhnya mengisi air dalam kolah dengan memunggah menggunakan raga dari sungai berhampiran. Selepas dibuat apa yang disuruh, dia menemui gurunya, “tok! perbuatan ini lebih tidak bermakna (tak penuh-penuh air yang diisi)”. Si tuan guru menjawab, “menimba air dengan raga samalah dengan membaca Quran walaupun tidak memahaminya…raga yang kotor menjadi bersih walaupun kolah tidak penuh - samalah dengan hati orang yang membaca Quran”.

Al-Quran juga mesti difahami makna, asbabul nuzul, muhkamat, mutasyabihat, dan pelajaran-pelajaran yang berkaitan. Dengan itu mudahlah bagi kita umat nabi Muhammad menyebarkan, beramal, dan menjadikan seluruh kehidupan ini dengan Islam (ad-Dinul Islam Kulluhu) berdasarkan panduan yang telah disediakan Allah kepada hamba-Nya.

Kalau sudah difahami ayat-ayatnya, mudah bagi kita untuk mengamalkan segala yang ada di dalam al-Quran. Manusia membentuk mesin basuh dan menjualkannya di kedai-kedai. Kalaulah orang yang tidak pernah menggunakannya membeli dari kedai lalu dipasang di rumahnya, namun dia tidak tahu cara menggunakannya. Lantas diambil panduan yang disediakan, dibelek-belek dan dibaca serta difahaminya lalu mengamalkan apa yang difahami. Seketika selepas itu, mesin basuh yang dibelinya berfungsi seperti yang diinginkan. Itu baru mesin basuh, benda yang kecil. Cuba kita fikir tentang ‘kehidupan’ kalaulah tiada panduan atau tidak diamalkan panduannya. Apa akan jadi?.

Allah berfirman (maksudnya): “Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu menyintai Allah, maka ikutlah aku (nabi Muhammad) nescaya Allah akan mengasihimu.”
(surah Ali Imran: 31)
Untuk ‘membalas surat cinta itu’ maka Allah telah memberikan kepada kita panduan-Nya iaitu dengan mengikuti nabi Muhammad s.a.w. dalam apa jua perkara, i’tiqadnya, suruhannya, larangannya, dan kehidupannya.

Itulah 114 surah yang diberikan Allah kepada hamba-Nya sebagai panduan hidup di dunia yang merupakan persinggahan untuk menuju alam akhirat yang kekal. Namun ramai yang meremehkan panduan itu, quran dijadikan perhiasan, akal pula yang diagungkan dalam menetapkan undang-undang dan sebagainya. Penting bagi kita umat nabi Muhammad mempelajari al-Quran supaya dapat dibaca,difahami, dan diamalkan, seterusnya disampaikan.
Sayyidina Usman bin Affan r.a. memberitakan bahawa nabi Muhammad s.a.w. bersabda (maksudnya): “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”.
(hadis riwayat Bukhari dalam Sahihnya)

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template