Showing posts with label Diari seorang Pengembara. Show all posts
Showing posts with label Diari seorang Pengembara. Show all posts

Sunday, October 21, 2012

Aku Dan Doa
Aku berhenti daripada melangkah, kakiku seakan menjadi berat, mungkin menunggu arahan selanjutnya daripada otak yang mengawal segala pergerakan. “Ya Allah bimbinglah aku… jangan Kau biarkan aku kuasai diriku sendiri walau hanya sekelip mata. Aku tidak tahu sama ada haluanku masih dalam lingkungan rahmatMu”.

Aku ingin keseluruhan hidupku berada di bawah naungan rahmat Allah. Aku berdoa kehadratNya agar aku tidak ego dengan kurniaanNya. Aku mengangkat tangan, menadah ke langit memohon pada yang Esa. Aku cuba meminta, mengharap agar diqabulkan dan aku tahu Tuhanku takkan hampakan permintaan hambaNya.

Aku sudahpun jauh daripada tempat berhenti tadi, berjalan melangkah maju ke tempat di mana manusia berkumpul untuk mendekatkan diri pada Pencipta. Antara dua persimpangan kehidupan, aku bermohon agar Allah yang tentukan supaya kebaikan sampai padaku.

Kitab Allah, aku jadikan santapan rohani. Makin kubacakan makin berminat diri ini. Tatkala singgah pada ayat yang menceritakan perihal kiamat, terasa jernih air mengalir membasah pipi. Lalu hati terus mengingini suatu kehidupan indah selepas mati.

“Ya Allah berikan kami kebaikan di dunia dan berikan kami kebaikan di akhirat. Dan jauhkan kami dari api neraka”.

Wednesday, October 17, 2012

UKHWAH GEN 5: KINABALU MELAMBAI

“Hello… Assalamualaikum, anta katne Zim?” Pertanyaan pertama yang keluar daripadaku tatkala panggilanku disambut oleh Azim. Kami bertujuh termasuk Muhammad Azim, anak kepada akhi Zaki dan Masyitah menunggu beberapa ketika setelah Azim memberitahu akan sampai sebentar lagi bersama sahabat kami Saipul yang merangkap juru pandu sepanjang berada di Sabah.

Setelah melepasi pemeriksaan imegresen, kami hanya duduk menunggu di Terminal 2, Kota Kinabalu International Airport, KKIA. Azim dan sahabat yang lain tiba di terminal dengan hati yang girang, namun kami terpaksa menunggu empat lagi sahabiah yang ketinggalan penerbangan pertama. Selepas dua jam setengah daripada LCCT, mereka semua tiba di terminal. Kami menuju ke Kundasang yang mengambil masa lebih kurang dua jam.

Kundasang
Dalam perjalanan, bermacam cerita dan luahan yang keluar daripada kami. Maklumlah baru bersua setelah sekian lama. Cerita masa dulu, sewaktu bersama dalam satu pengajian mencari sedikit ilmu. Pengalaman bersama diluahkan kembali dalam masa yang sesingkat perjalanan ke Kundasang.

Jalan berbukit dan berliku menghilangkan rasa mengantuk yang sentiasa mendampingi mata semasa dalam perjalanan. Namun ada juga yang kalah di pertengahan, dibuai mimpi sebagai permainan.

Jam di tangan menunjukkan 4.55 petang. Kereta Proton Saga milik Saipul berhenti di suatu tempat yang seakan pasar. “kita telah sampai ke Kundasang, nun di atas sana adalah tempat penginapan kita semua.” Tidak berapa lama di situ dengan udaranya yang sejuk, kami menuju ke Walai Tokou Homestay. “Selamat datang ke Kundasang” sambut abang Daimin dengan kemesraan. Abang Daimin ialah pemilik Walai Tokou Homestay dan merupakan seorang guru.

Malam pertama di Sabah, kami hanya berjalan-jalan di sekitar Pasar Kundasang menghirup udara malam yang amat sejuk. Sugguh indah kejadian alam yang Allah ciptakan. Sejuk, panas, lembab dan kering semuanya ada hikmah untuk manusia. Adakah manusia berfikir.


Ni’mat Tuhan
Pagi itu, hari jumaat 5 oktober 2012, kami ke Taman Kinabalu yang tidak jauh daripada tempat penginapan. Kami meredah Kinabalu walau hanya menggunakan van. Kesejukan menggigit tubuh. Mujur semuanya bertemankan baju sejuk yang dibawa bersama menjadi sahabat karib sepanjang berada di Sabah.

Di situ kami diberi peluang berucap seorang demi seorang. Bermacam madah yang ditutur oleh sahabat-sahabiah. Hari itu juga di tempat yang sama, modul dicipta, epal dikupas bersama tanpa terputus kulitnya. Walau hanya begitu rupa, kami faham maksudnya. Ukhwah bermula tidak terpadam selamanya dan membawa ke Syurga.

Kegembiraan di Taman Kinabalu, Ladang Lembu Kundasang, Ladang Teh Sabah dan Kolam Air Panas Ranau. Semuanya kami abadikan dalam kenangan.

Iman Diuji
Pulau Manukan dan pulau Memutik, itulah dua pulau yang kami kunjungi semasa berada di Sabah. Selepas urusan pembelian tiket selesai, kami memulakan perjalanan ke pulau Manukan. Lebih kurang 10 minit berada dalam bot, kami tiba di jeti.

Pemandangan yang indah dek kehijauan pokok-pokok dengan dihiasi batu-batu menjadikan kami sangat teruja dengan ciptaan Allah. Air yang jernih memungkinkan kami melihat isinya yang pelbagai. Ikan yang berlegar, terumbu karang yang berkilau dan juga batu-batu menghiasi pemandangan mata. “Subhanallah…maha suciMu ya Allah” diriku bermonolog.

Namun aku kecewa bila mana keindahan itu dicemari dengan aksi jemuran orang putih dan lagak warga asing yang hanya berbaju mandi. Tetapi patutkah kita salahkan mereka.kenapa tidak bertanya pada diri, patutkah aku mendatangi tempat sebegini. Imanku teruji…

Pandangan mata harus ditundukkan, nafsu muda harus dikawal. Tetapi aku percaya, bila di tempat sebegitu rupa…kita takkan terlepas dari dosa. Mungkin ujian besar ini tidak terasa jika iman tidak menebal di dada.


Dalam keletihan bermain dengan kemasinan pantai, kami pulang ke Kundasang dengan tujuan merebahkan badan di atas tilam yang empuk. Aku tidak tahu apa yang berlaku di sepanjang perjalanan pada malam itu. Aku rebah, kalah dengan keletihan yang menimpa. Hanya tersedar dari lena bila van telah berhenti di hadapan rumah penginapan.

Selamat Tinggal Sabah
Ahad, 7 Oktober 2012… Selepas membeli belah di Kota Kinabalu, kami tahu akan meninggalkan Sabah, negeri bawah bayu itu. Entah bila lagi kami akan sampai lagi. Kami juga tahu perjumpaan ini akan ditangguhkan sehingga ke hari dan waktu yang telah ditentukan.

Kenangan-kenangan disimpan dalam kotak pemikiran, diabadikan sebagai kenangan berharga bagi kami semua. Selamat tinggal Sabah… Walaupun masih banyak lagi tempat yang belum kami jejaki. Namun kami berpuas hati dengan program ini yang mengumpulkan sahabat-sahabiah dari keluarga Gen-5.


Tuesday, June 16, 2009

Masjid ar-Rahimah


Petang itu, 14 Jun 2009 bersamaan 20 jamadilAkhir 1430, selepas mengikut Abdul Bari
menunaikan solat maghrib di masid ar-Rahimah Batu Caves, aku pulang ke kediaman
sementaraku di Taman Desa Gemilang... Akademi Tahfiz Bestari, di situlah aku meletakkan khidmadku mendidik para pelajar... Aku sememangnya kurang pada ilmu, namun itu tidak menghalang aku dari terus mempertahankan pembawaan 'ad-Dinul Islam kulluhu' dalam kehidupan. Aku percaya khidmadku dapat menampung sedikit dari kelompangan yang ada dengan menitik-beratkan akhlak pelajar di situ.

Aku bersyukur, Allah memberikan aku sedikit ilmu di masjid ar-Rahimah melalui kulliyah maghribnya iaitu penerangan kepada hadis Nabi yang diriwayatkan oleh imam Bukhari yang bermaksud: "Sampaikan daripadaku walau satu ayat" Aku diperjelaskan dengan kepentingan dakwah yang meliputi seluruh manusia. Orang kafir diseru dengan kalimah syahadah, orang yang lalai diperingatkan, orang yang memerlukan nasihat diberikan.

Dalam perjalanan pulang menaiki jeep merah kepunyaan Abdul Bari, kami banyak
berbincang tentang dakwah - namun kami tidak sehaluan pada kefahaman. Aku mengerti
perkara ini biasa pada manusia yang jauh dengan zaman kenabian. Abdul Bari ialah
seorang yang terlibat secara langsung dengan jamaah Tabligh, sesekali dia merelakan diri mengikut bayan dan gasy yang dibawa oleh Dr Nasuha yang popular di kawasan sekitar masjid ar-Rahimah. Dr nasuha ialah seorang yang dianggap membawa reformasi dalam jemaah Tabligh, namun pemikirannya terlalu ekstrimis. Hanya dia dan mereka yang bergerak di bawahnya dianggap beriman dengan apa yang dikehendaki Allah.

"Lillahi! Seluruh manusia tak beriman lagi, hanya mereka yang disini yang
menjadikan setiap hari dengan kerja Nabi sudah beriman." Inilah perkataan yang tumpah ke telingaku daripada Dr Nasuha. Amalan mereka sememangnya amalan yang baik dengan gasy setiap hari selepas sedikit bayan tentang kebesaran Allah selepas waktu subuh. Mereka mengatakan ada kelainan pada mereka dengan jemaah Tabligh yang lain iaitu pada amalan hari-hari kerja nabi (gasy) dan mendakwah orang kafir. Betapa semangatnya mereka, selepas maghrib juga mereka gasy walaupun di masjid ketika itu ada majlis ilmu.

Selepas bayan yang disampaikan oleh Dr Nasuha yang habis kurang lebih pukul 7petang, aku mengajak Abdul Bari ke serambi masjid yang tiada orang. Sambil menanti
tibanya waktu maghrib aku memulakan dengan bicara "Secara jujurnya ana tak dapat terima dengan pemikiran Dr Nasuha yang seakan menolak ijtihad para ulama terdahulu tentang iman, dakwah, jemaah, dan sebagainya. Imam Syafi'e juga pernah berkata mungkin pendapat aku salah, orang lain betul" Abdul Bari masih dengan pemikirannya tetapi ada juga perkara yang tidak dapat diterima dari Dr Nasuha, itupun disebabkan Dr Nasuha dikatakan tidak mengikut tertib yang ditetapkan oleh Nizamudin (markaz jamaah Tabligh di India).

Aku mengeluarkan pendapatku kepada Abdul Bari tentang perpaduan umat. Aku
berpendapat umat ini akan bersatu jika dua perkara ini dipegang dan diamalkan
(insyaAllah). Itulah aqidah yang satu dan sikap 'mungkin kita betul dan dia salah,
mungkin juga kita salah dan dia betul'. Kita sebagai orang awam yang mengikut mazhab
atau pendapat ulamak hendaklah berlapang dada dengan khilaf yang berlaku disamping
berusaha mencari kebenaran. Kita mesti berpegang dengan apa yang digariskan oleh
Nabi s.a.w. bahawa ijtihad ulamak itu kalau benar dua pahala dan kalau salah satu
pahala.

Walaupun kita menggelarkan diri sebagai orang awam, tetapi kita mesti juga
membasahkan dada dengan ilmu terutama ilmu fardhu Ain... Allah s.w.t. mengatakan orang yang beriman yang berilmu diangkat darjat mereka... Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
"Tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang-lahad." Dan Nabi s.a.w. juga pernah bersabda (maksudnya): "Menuntut ilmu itu fardhu ke atas setiap muslim" Ulamak menyatakan
arahan sebegini (muslim) termasuk muslimat juga.

Sesampainya aku di Akademi Tahfiz Bestari - Firdaus, seorang Designer yang berasal dari Sabah mengajak aku menemaninya ke Pasar Larut Malam Danau Kota atau dikenali juga dengan nama Uptown. Jam sudah menunjukkan 10.30 malam, namun aku berasa tidak selesa untuk mengecewakan kawan dengan perkara yang aku mampu lakukan. Tubuh yang letih, aku gagahi jua menaiki motosikal menuju ke Danau Kota... Habis berbelanja, kami pulang ke Akademi kurang lebih pukul satu pagi.

CINTA AGUNG

Bandar Lembah Beriah

12-14 Disember 2008, gabungan empat pertubuhan telah menemui kejayaan dalam melaksanakan program Kem Kerohanian Remaja 2008 (KRR08) yang bertempat di surau Hj Wan Ibrahim, Bandar Lembah Beriah, Perak Darul Ridhuan. Mereka ialah persatuan penduduk Bandar Lembah Beriah, Mafa Training Centre (MAFA), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), dan bomba sukarela Bandar
Lembah Beriah.

Program tiga hari dua malam itu telah meletakkan aku sebagai fasilitator dalam menjayakan program yang mempunyai peserta dari empat buah sekolah sekitar Bandar Lembah Beriah. Walaupun kekurangan tenaga kerja, namun KRR08 telah berjaya memberi kesedaran kepada peserta (selepas melihat respon balas peserta seusai program).

Fasilitator terpaksa juga membantu dengan menanggung tugas sebagai Ahli jawatan Kuasa (AJK) program. Walaupun begitu rata-rata fasilitator yang dilihat, tidak berkira dengan tugas yang dimainkan. Objektif mereka yang utama dalam program itu hanyalah ingin memupuk kesedaran remaja kepada kemurnian akhlak Islam dalam membentuk peribadi generasi yang akan datang. Generasi inilah yang akan menentukan arah tuju negara pada masa akan datang.

Walaupun kebanyakan AJK dan fasilitator khususnya dari MAFA ialah mereka yang datang dari luar negeri Perak, namun semuanya ikhlas dalam menginfaqkan tenaga dan wang ringgit untuk tujuan dakwah Islam. Mereka tidak dibayar satu sen pun untuk perkhidmatan yang diberikan.


Muhasabah

Pagi itu adalah pagi ketiga dan hari terakhir kami di surau Hj Wan Ibrahim. Mengikut
tentatif program, pukul 9 hingga pukul 11 - slot muhasabah (motivasi diri) yang bertemakan ibu bapa. Slot ini adalah bertujuan untuk menimbulkan rasa kasih sayang anak kepada kedua ibu dan bapanya sekaligus memupuk kesedaran yang tinggi bahawa Islam itu menekankan perihal hak dan peranan.

Hafizudin (salah seorang ahli MAFA) telah menjadi teraju kepada slot ini, manakala Firdaus memainkan peranan memasukkan unsur bunyi. Di situlah juga pertama kali aku mendengar lagu itu. Firdaus telah merapatkan handphonenya ke pembesar suara lalu dipasang lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid Qathrunnada.

Lagu itu sungguh menyayat hati si pendengarnya, nadanya yang sedih berulam lirik yang sayu seakan ungkapan doa agar Tuhan menerima perasaan yang bersungguh-sungguh menyintai-Nya. Perasaan di hati ingin melihat Allah dan dipelawa masuk ke dalam syurga-Nya dengan hati redha dan diredhai.

Tidak ingin termasuk golongan yang diisyaratkan Allah dalam surah Insyiqaq
(maksudnya): "Dan golongan yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri) dari sebelah belakang. Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya."
(al-Insyiqaq: 10-11)


Taman Desa Gemilang

Aku kini (Mei 2009) di Sekolah Rendah Akademi Tahfiz Bestari (SRATAB), sebuah sekolah yang baru ditubuhkan. Aku ditaklifkan sebagai salah seorang pembimbing pelajar menuju objektif yang telah digarapkan. Antara objektifnya ialah proses pengajian yang berterusan, melahirkan para hafiz yang berkebolehan dalam semua bidang, membentuk peribadi dan akhlak mulia, dan membantu menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Di sini aku banyak belajar tentang kehidupan. Luahan ibu tunggal (ibu kepada dua pelajarku) membuatkan aku matang. Pengajaran dari seorang lecturer UIA(hakikatnya seorang saluran Allah kepadaku) tentang kejayaan adalah dengan adanya coarch telah membuatkan neuron otakku bersambungan.


Suasana taman di atas bukit memang sesuai untuk bakal-bakal huffaz menghafaz Quran dan pelajaran lainnya. Jauh ke dalam merentasi bukit, tempatnya tidak disangka adanya perumahan. Hanya diketahui umum UIA di kaki bukit, namun jalannya berpanjangan, ke kanan itu lebuh raya, kalau terus jumpalah ia (taman desa gemilang) melalui kampung Sg Pusu.

Taman yang masih baru itu tiada surau, namun penduduk di situ telah dimasukkan hidayah ke dalam hati mereka. Dibinanya surau berbumbung khemah berlantai simen. Paling penting bukan seni binanya, malah aktivitinya hidup dengan solat berjemaah dan sesi kulliyah maghrib. Masyarakat di taman saling berkenalan dan bersama dalam apa jua bentuk aktiviti kemasyarakatan.


Cinta Agung

Di sekolah itulah aku mula teringat tentang lagu yang dimainkan pada slot muhasabah di surau Hj Wan Ibrahim, Bandar Lembah Beriah, Perak. Di taman itu jugalah aku menghafal lirik lagu itu satu persatu. Aku mula menghayati liriknya dalam keadaan berseoarang.

Dalam bilik pejabat, di depan skrin computer, menggunakan ear phone yang disambung pada Control Processor Unit (CPU), aku mendengar sambil mengikut liriknya. Bibirku bergerak perlahan, mataku dipejamkan, tenang mendengar lirik yang membesarkan Tuhan.

Tanpa disedari badan, hati berasa gementar, lalu melelehlah air mata seorang hamba yang merindukan Tuhan. Selepas saat itu, aku telah menjadikan lagu itu sebagai
hidangan harian, makanan jiwa yang berupa kalimah membesarkan Tuhan.


Ya Allah Engkau Tuhanku,
Tiada Tuhan melainkan Engkau,
Engkau cinta agungku,
Nabi Muhammad pesuruhMu.

Ya Allah Engkau sumber bahagia,
Engkau sumber keselamatan,
Ya Allah Engkau sumber keamanan.
Engkau adalah segalanya.

Ya Allah Engkaulah pelindungku,
Engkaulah sumber rezekiku,
Di waktu sakit Kau sembuhkan,
Di waktu lapar Kau beri makan.

Ya Allah Engkau cinta agungku,
Cintaku haraplah dibalas,
Ya Allah Engkau cinta agungku,
Janganlah cintaku tidak dibalas.

Jangan biarkanku tanpa pimpinan,
Pimpinlah aku ke jalan yang benar,
Kepada Engkaulah harapanku,
Janganlah hampakan perasaanku.




Dipetik dari:
lirik lagu Cinta Agung
(Qathrunnada)

Sunday, May 24, 2009

Ilmu dari Seorang Ayah

Di kala sang Bayu menggosok lembut pada permukaan dedaun Nyiur, lalu dibalas
dengan lambaian. Aku memerhati dengan pandangan yang agak tajam sambil otakku
ligat memikirkan betapa indah ciptaan Tuhan. Aku dapat merasakan ketika itu
neuron-neuron dalam otakku saling berhubungan.

“Alhamdulillah" kalimah pendek itu meluncur laju melangkah dua bibirku. Terasa kerdil bila melihat ciptaan Allah. Hatiku tenang bila terasa Allah bersama, ditambah dengan bunyi alunan zikir oleh burung dan makhluk lainnya memuji dan bertasbih membesarkan sang Pencipta.

Entah kenapa terdetik di hati, teringat kembali pelajaran lama yang susah nak dapat. Aku hanya perolehnya secara percuma dari seorang ayah yang hanya berkelulusan darjah satu sekolah melayu (itu pun tidak lama). Mungkin kerana melihat lambaian lembut yang dibalas (mungkin tanda berterima kasih) tatkala mendapat hempasan sepoi bahasa.


Ilmu itu ringkas, pendek kalimahnya, padat isinya, tersimpan seribu makna,
ILMU TAKSIR diberi nama. Itulah ilmu yang sungguh besar bagiku dari seorang ayah
yang tidak berpendidikan formal. Ayatnya kecil, namun nilainya tak terkira buat
seorang anak yang membutuhkan makna.

Cuba guna ilmu taksir sikit, kalau kita tak suka orang lain pun sama." Nasihat ayahku dengan nada yang marah tatkala melihat aku melastik ayam jiran. Ketika itu aku tidak mengerti apa yang diucapkan oleh ayah. “Apakah itu ilmu tafsir?"
Tanya hatiku pada diri.

Sekarang aku telah mengerti, hanya dulu aku yang silap dengar dan kurang pada bahasa. Ilmu taksir itu ilmu imbalan kehidupan, jika apa yang berlaku pada kita tidak disukai, begitu juga makhluk lain. Sebagai contoh, kita suka dihargai bila berbuat baik, begitu juga orang lain sukakan penghargaan itu. Apalah salahnya jika diucap terima kasih sebagai imbalan pada pemberian.

Itulah ajaran dari seorang ayah yang mahukan kehidupan anaknya penuh dengan
akhlak dan adab. Dia telah menjadikan dirinya sebagai ‘madrasatul ula' sekolah pertama bagiku semasa kecil.


aku ini ibarat rebun yang akan mencari buluh dan melihat pemandangan dunia yang penuh dengan tipu daya.

Terima kasih tak terhingga kepada ayah yang telah bertungkus-lumus membesarkan kami adik beradik bergandingan dengan ibu. Walau secarik nasihatmu tapi membawa makna kehidupan. Ikhlasnya dirimu hanya Allah yang dapat memberi ganjaran.

Thursday, April 23, 2009

Persahabatan


Begitu lama jari-jemari tidak menekan punat-punat keyboard.
Terasa haus untuk bergerak mengikut rentak ejaan.
Namun apa yang boleh dibuat oleh jari.
Otak tidak mengizinkan, hati tidak membenarkan.

Meneraju isu bukannya mudah.
Tetapi pokok kepada masalah suatu isu.
Boleh dijadikan hujah...
Dunia semakin maju, rakyat semakin tahu.
Membaca menjadi minat baru.

Dengan tumbuhnya pelbagai wadah untuk disalurkan faedah.
Namun banyaknya jua unsur negatif...
Tidaklah dapat dihindari.
Dengan dunia di hujung jari...

Kini kegembiraan terserlah, bila ia dapat berjalan perlahan,
Sesekali berlari laju di atas trek keyboard .
Walaupun dengan sedikit lakaran pesanan...

Di kesempatan yang pendek ini.
Demi menyahut panggilan globalisasi.
Insan yang lemah dan kerdil ini, ingin menyajikan.
coretan lama...
Penuh dengan pesanan.
Allah ketemukan semula tulisan itu...
Bertarikh 5 Mac 2007.
Ringkas tapi penuh makna...

BUAT SAHABAT
Bersama-samalah kita menegakkan,
Panji Islam yang rebah.
Binalah ukhuwah Islamiyah,
Walaupun datangnya ujian Ilahi.

Jagalah hati sahabat dan saudara.
Kerana akibatnya...
Tiada berkesudahan.
Walau terjalin semula.

Ada sedikit yang takkan tanggal.
Tapi ingatlah satu perkara.
kita rasa kita dijauhkan,
Mungkin kita menjauhkan.

Berilah satu harapan,
Dalam mencari kebenaran.
Mengikut rentak yang ditentukan.
Al Quran sebagai pedoman.
Sunnah rasul sebagai acuan.

Tuesday, March 3, 2009

Kenanganku SRIBU

Pagi itu lebih kurang pukul 8, suasana tepi lebuhraya dari Butterworth ke Alor setar sungguh nyaman. Pokok-pokok sikitpun tidak bergoyang menandakan hempasan bayu tidak mengancam. Aku membonceng sahabatku dengan Yamaha merah 135LC menuju ke Alor setar.“Ustaz, Atiqah menangis, Yahya buat…”, Yusazana memberitahuku. Aku toleh ke belakang, kelihatan Atiqah sedang menekup mukanya dengan tudung. Esakan perlahan daripada Atiqah bagaikan memanggilku untuk dipujuk.

Peserta kem yang lain masih seronok mencuba permainan gayut tali ala latihan tentera, riuh bersama fasi-fasi dan ustaz. Hanya Hafizuddin dan ustaz Zainon saja yang berada di atas pokok Rambai. Aku dan beberapa peserta lain berada dibawah pokok itu menunggu buah yang dihulurkan Hafizuddin.

“Panggil Yahya ke sini” suruhku kepada Yusazana dan Aina Najah. “Apa yang anta buat kat Atiqah ha, cepat minta maaf, anta baru darjah 2 tapi dah nak jadi samseng ek, memang nak kena dengan ustaz ni”. Gertakku kepada Yahya yang sememangnya aku mengerti perangainya itu. Yahya memang terkenal di kalangan ustaz-ustaz Sekolah Rendah Bahrul Ulum (SRIBU) dengan kenakalannya.

Motor yang ku tunggangi bersama Firdaus memecut laju bila pemegang sebelah kanan dipulas lebih banyak. Meter menunjukkan angka 100. Angin kuat mula terasa menolak muka, tambahan pula helmet yang ku pakai tiada cermin penghadang muka…Aku cuba mengingati peristiwa di Sribu selama aku berkhidmad menyumbang tenaga di sekolah itu.Memori SMART CAMP terlintas di kepala. “Ustaz ni memang suka manjakan abang ana”. Hudaimatul Uzma mencelah ketika abangnya, Muaz memberikanku alamat rumahnya “Anti pun sama je, manja dengan ustaz”. Pelajar tahun satu SRIBU itu sememangnya mesra denganku.

Aku terus dibuai memori bersama pelajar SRIBU. Muka Ahmad Akmal, pelajar tahun 2 Ali terbayang di ingatanku, aku teringat sepotong hadis yang diajarkannya bersama dengan matannya sekali…”orang mukmin yang sempurna imannya ialah orang yang baik akhlaknya.” (hadis riwayat Ahmad). Terima kasih tak terhingga kepada Ahmad Akmal kerana mengajarkanku sepotong hadis nabi.

“…Huray !!” bunyi sorakan daripada kelas 2 Osman sebaik melihat aku melangkah masuk pintu kelasnya. “Hari ini ustaz ganti ustazah Baizura, ustaz tak nak mengajar sebab masa ada 15 minit je lagi, harap antum semua diam dan buat kerja sendiri…”Aku mengambil kerusi dan duduk di sudut tepi kelas, aku berbual-bual dengan Syamila, Fatin Nadiah, Irsyad, dan Aina Abd Halim, adik kepada Aisyah. “Ustaz, boleh ana urut belakang ustaz?” pinta Khadijah. Orang mengantuk disorong bantal, alhamdulillah…Sambil berborak aku meminta Irsyad, pelajar tahun 2 Osman yang berketurunan Pakistan supaya mengajar bahasa Ughdu kepadaku. Aku belajar bilangan dalam bahasa Ughdu, daripada 1 hinggalah angka sepuluh. Aku sebut satu-satu “egh, tho, tiin, chag, punch, cher, sit, arg, noun, das...”.

Aku teringat kepada sebuah sajak yang kutulis ketika SRIBU telah lekang daripada pelajar dan guru-guru. Sajak itu ditulis supaya kenangan bersama tidak dilupakan. Sajak yang bertajuk KENANGAN itu kutampal di dinding asrama B, asrama di bawah jagaan aku dan ustaz Khairuddin atau ustaz Din Pakistan. Terlintas di fikiranku untuk menampal sajak itu di dinding kantin supaya dapat dibaca oleh semua pelajar SRIBU.

Kursus bekam yang ku sertai di Alor Setar telah selesai pada pukul 5.30 petang. Selepas solat asar berjemaah bersama Firdaus dan abang Musafri, aku bertolak balik ke SRIBU. Banyak input yang aku dapat daripada kursus itu.Kami tiba di SRIBU pada pukul 7.15 malam selepas 1 jam lebih di atas motor. Aku bergegas ke asrama untuk menyalin sajak yang telah kutulis itu. Pen dan kertas dicapai, lalu kutulis…

KENANGAN…
Buat adik-adikku pelajar SRIBU
Belajarlah bersungguh-sungguh
Julangkan nama sekolah, ibu, dan ayah

Ingatlah antum semua…
Pelajar islam, pelajar agama
Solat jangan ditinggalkan
Taatlah pada perintah Allah
Tinggalkan apa yang dilarang
Jadikanlah nabi sebagai contoh teladan

Selama kita bersama…
Biarlah jadi kenangan
Memori yang berpanjangan
Walau sekali jangan dilupakan
Apa yang baik jadikanlah teladan
Yang buruk pula kita jadikan sempadan

Yang ditibai dan dirotan
Harap antum maafkan…
Bukan tanda benci
Tapi tanda sayang
Ingin jauhkan syaitan bersarang
Di dalam hati adik-adikku sayang

Semoga perpisahan ini dirahmati
Moga Allah berikan peluang
Untuk kita bertemu lagi
Di dunia yang fana ini
Atau di syurga yang menanti
InsyaAllah…

Selepas selesai kutulis, cepat-cepat kutampalkan pada dinding kantin. Aku tak tahu sama ada mereka sempat baca atau tidak. Hanya pada Allah aku mohon agar sajak yang ku tampal terjaga daripada ancaman luar.

Ya Allah, aku mohon padamu, pimpinlah kami pada ketaatan dalam beribadah kepadamu. Pertemukanlah kami di waktu yang lain andai kami terpisah, ikatkanlah hati-hati kami dalam memperjuangkan agamaMu. Sampaikan hajat kami untuk syahid pada jalanMu ya Allah. Kau lapangkanlah hati-hati kami, kau mudahkanlah urusan kami…

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template