Tuesday, June 16, 2009

CINTA AGUNG

Bandar Lembah Beriah

12-14 Disember 2008, gabungan empat pertubuhan telah menemui kejayaan dalam melaksanakan program Kem Kerohanian Remaja 2008 (KRR08) yang bertempat di surau Hj Wan Ibrahim, Bandar Lembah Beriah, Perak Darul Ridhuan. Mereka ialah persatuan penduduk Bandar Lembah Beriah, Mafa Training Centre (MAFA), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), dan bomba sukarela Bandar
Lembah Beriah.

Program tiga hari dua malam itu telah meletakkan aku sebagai fasilitator dalam menjayakan program yang mempunyai peserta dari empat buah sekolah sekitar Bandar Lembah Beriah. Walaupun kekurangan tenaga kerja, namun KRR08 telah berjaya memberi kesedaran kepada peserta (selepas melihat respon balas peserta seusai program).

Fasilitator terpaksa juga membantu dengan menanggung tugas sebagai Ahli jawatan Kuasa (AJK) program. Walaupun begitu rata-rata fasilitator yang dilihat, tidak berkira dengan tugas yang dimainkan. Objektif mereka yang utama dalam program itu hanyalah ingin memupuk kesedaran remaja kepada kemurnian akhlak Islam dalam membentuk peribadi generasi yang akan datang. Generasi inilah yang akan menentukan arah tuju negara pada masa akan datang.

Walaupun kebanyakan AJK dan fasilitator khususnya dari MAFA ialah mereka yang datang dari luar negeri Perak, namun semuanya ikhlas dalam menginfaqkan tenaga dan wang ringgit untuk tujuan dakwah Islam. Mereka tidak dibayar satu sen pun untuk perkhidmatan yang diberikan.


Muhasabah

Pagi itu adalah pagi ketiga dan hari terakhir kami di surau Hj Wan Ibrahim. Mengikut
tentatif program, pukul 9 hingga pukul 11 - slot muhasabah (motivasi diri) yang bertemakan ibu bapa. Slot ini adalah bertujuan untuk menimbulkan rasa kasih sayang anak kepada kedua ibu dan bapanya sekaligus memupuk kesedaran yang tinggi bahawa Islam itu menekankan perihal hak dan peranan.

Hafizudin (salah seorang ahli MAFA) telah menjadi teraju kepada slot ini, manakala Firdaus memainkan peranan memasukkan unsur bunyi. Di situlah juga pertama kali aku mendengar lagu itu. Firdaus telah merapatkan handphonenya ke pembesar suara lalu dipasang lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid Qathrunnada.

Lagu itu sungguh menyayat hati si pendengarnya, nadanya yang sedih berulam lirik yang sayu seakan ungkapan doa agar Tuhan menerima perasaan yang bersungguh-sungguh menyintai-Nya. Perasaan di hati ingin melihat Allah dan dipelawa masuk ke dalam syurga-Nya dengan hati redha dan diredhai.

Tidak ingin termasuk golongan yang diisyaratkan Allah dalam surah Insyiqaq
(maksudnya): "Dan golongan yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri) dari sebelah belakang. Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya."
(al-Insyiqaq: 10-11)


Taman Desa Gemilang

Aku kini (Mei 2009) di Sekolah Rendah Akademi Tahfiz Bestari (SRATAB), sebuah sekolah yang baru ditubuhkan. Aku ditaklifkan sebagai salah seorang pembimbing pelajar menuju objektif yang telah digarapkan. Antara objektifnya ialah proses pengajian yang berterusan, melahirkan para hafiz yang berkebolehan dalam semua bidang, membentuk peribadi dan akhlak mulia, dan membantu menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Di sini aku banyak belajar tentang kehidupan. Luahan ibu tunggal (ibu kepada dua pelajarku) membuatkan aku matang. Pengajaran dari seorang lecturer UIA(hakikatnya seorang saluran Allah kepadaku) tentang kejayaan adalah dengan adanya coarch telah membuatkan neuron otakku bersambungan.


Suasana taman di atas bukit memang sesuai untuk bakal-bakal huffaz menghafaz Quran dan pelajaran lainnya. Jauh ke dalam merentasi bukit, tempatnya tidak disangka adanya perumahan. Hanya diketahui umum UIA di kaki bukit, namun jalannya berpanjangan, ke kanan itu lebuh raya, kalau terus jumpalah ia (taman desa gemilang) melalui kampung Sg Pusu.

Taman yang masih baru itu tiada surau, namun penduduk di situ telah dimasukkan hidayah ke dalam hati mereka. Dibinanya surau berbumbung khemah berlantai simen. Paling penting bukan seni binanya, malah aktivitinya hidup dengan solat berjemaah dan sesi kulliyah maghrib. Masyarakat di taman saling berkenalan dan bersama dalam apa jua bentuk aktiviti kemasyarakatan.


Cinta Agung

Di sekolah itulah aku mula teringat tentang lagu yang dimainkan pada slot muhasabah di surau Hj Wan Ibrahim, Bandar Lembah Beriah, Perak. Di taman itu jugalah aku menghafal lirik lagu itu satu persatu. Aku mula menghayati liriknya dalam keadaan berseoarang.

Dalam bilik pejabat, di depan skrin computer, menggunakan ear phone yang disambung pada Control Processor Unit (CPU), aku mendengar sambil mengikut liriknya. Bibirku bergerak perlahan, mataku dipejamkan, tenang mendengar lirik yang membesarkan Tuhan.

Tanpa disedari badan, hati berasa gementar, lalu melelehlah air mata seorang hamba yang merindukan Tuhan. Selepas saat itu, aku telah menjadikan lagu itu sebagai
hidangan harian, makanan jiwa yang berupa kalimah membesarkan Tuhan.


Ya Allah Engkau Tuhanku,
Tiada Tuhan melainkan Engkau,
Engkau cinta agungku,
Nabi Muhammad pesuruhMu.

Ya Allah Engkau sumber bahagia,
Engkau sumber keselamatan,
Ya Allah Engkau sumber keamanan.
Engkau adalah segalanya.

Ya Allah Engkaulah pelindungku,
Engkaulah sumber rezekiku,
Di waktu sakit Kau sembuhkan,
Di waktu lapar Kau beri makan.

Ya Allah Engkau cinta agungku,
Cintaku haraplah dibalas,
Ya Allah Engkau cinta agungku,
Janganlah cintaku tidak dibalas.

Jangan biarkanku tanpa pimpinan,
Pimpinlah aku ke jalan yang benar,
Kepada Engkaulah harapanku,
Janganlah hampakan perasaanku.




Dipetik dari:
lirik lagu Cinta Agung
(Qathrunnada)

0 komentar:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template