Tuesday, June 2, 2009

Manusia


Manusia itu unik,
Dihiasi warna-warna perasaan.
Namun diri yang menentukan,
Mahmudah atau mazmumah.

Kesempurnaan pada kejadian,
Allah nukilkan dalam surah at_Tin.
Namun manusia tidak menghargai,
Diri dan makhluk lain dizalimi.

Aduhai manusia makhluk sempurna,
Kenalkah kau pada Pencipta?
Yang menjadikan kau sebagai khalifah,
Mentadbir dunia dengan agama yang ditegakkan.

Daripada tanah asal keturunan,
Menusia pertama bernama Adam.
Dicampak ke dunia bersama pasangan.
Dek terpujuk oleh makhluk derhaka.

Berkembang biak memekar di bumi,
Melalui mani yang terpancar,
Keluar dari antara sulbi dan tulang dada.
Hinanya manusia jika tiada iman di dada.

Setiap kejadian ada tugasnya.
Diberi panduan untuk melaksanakannya.
Namun manusia leka dengan dunia,
Meletakkan nafsu di tangga pertama.

Manusia lupa matlamat pertama,
Persinggahan dijadikan tujuan.
Namun semuanya akan ditinggalkan,
Bila roh terpisah dengan badan.

Tidak lagi berguna suatu penyesalan,
Meminta supaya dikembalikan.
Ingin menjadi hamba beriman,
Untuk seluruh kehidupan.

Dari kiri melalui belakang,
Disambut jua sebelah kiri.
Terbuktilah suatu kemurkaan,
Melalui pemberian catatan amalan.


Tahulah diri yakinlah hati,
Berjaya atau tidak menyeberang jambatan.
Perjalanan menuju ke tempat impian,
Atau jatuh dihumban ke lembah Jahannam.

Bahagialah manusia yang menerima pelawaan,
Ajakan daripada Allah menuju tempat impian.
Bahagialah mereka yang bahagia,
Kerana memilih jalan penyucian jiwa.

“Wahai jiwa-jiwa yang tenang,
Kembalilah pada Tuhanmu,
dengan hati redha dan diredhai.
Masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu,
Dan masuklah ke dalam SyurgaKu”.





saif al-Lizam,
Gombak Selangor,
12-5-2009 / 16 jamadilawal 1430.

0 komentar:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template