Tuesday, June 2, 2009

114 Surat Cinta itu…

Semasa aku menaip mesej itu, aku merancang untuk menghantarnya kepada semua kawan-kawan, namun ada juga yang terlepas. Jari terus menekan keypad handphone, lalu skrinnya memaparkan:
“Adakah telah dibaca surat cinta itu?
Adakah telah difahami surat cinta itu?
Adakah telah diamalkan surat cinta itu?
Adakah telah dibalas surat cinta itu?
114 surat cinta itu…
Sekadar renungan diri…”




Aku memilih send to many dan menghantarnya. Seketika, aku mendapat respon mesej balas berupa pertanyaan. Ada yang membalas aku tersilap hantar mesej (mungkin pemikirannya kepada cinta dunia), ada juga yang bertanya ayat 114 daripada surah mana (faham apa yang dimaksudkan, tapi tak faham 114 itu), ada pula yang ringkas balasnya “tak faham”.

Mungkin mereka tidak mengerti dengan perumpamaan itu. Al-Quran itu mesti dibaca. Kalaulah kita baca surat cinta, pasti tidak hanya sekali, malah ingin dibaca berkali-kali. Al-Quran juga mesti dibaca seperti membaca surat cinta, malah lebih lagi kerana ia adalah Kalam Allah yang tiada tandingan dengannya.

Ada satu kisah tuan guru dan muridnya. Si murid disuruh membaca Quran, dijawabnya “tok! ajarlah saya maknanya, apa gunanya membaca Quran tapi tak faham”, namun gurunya masih menyuruh membaca Quran. Sekali lagi dia datang menemui gurunya, “Tok! saya berasa membaca tanpa memahami adalah suatu yang tak berfaedah”. Si tuan guru malah menyuruhnya mengisi air dalam kolah dengan memunggah menggunakan raga dari sungai berhampiran. Selepas dibuat apa yang disuruh, dia menemui gurunya, “tok! perbuatan ini lebih tidak bermakna (tak penuh-penuh air yang diisi)”. Si tuan guru menjawab, “menimba air dengan raga samalah dengan membaca Quran walaupun tidak memahaminya…raga yang kotor menjadi bersih walaupun kolah tidak penuh - samalah dengan hati orang yang membaca Quran”.

Al-Quran juga mesti difahami makna, asbabul nuzul, muhkamat, mutasyabihat, dan pelajaran-pelajaran yang berkaitan. Dengan itu mudahlah bagi kita umat nabi Muhammad menyebarkan, beramal, dan menjadikan seluruh kehidupan ini dengan Islam (ad-Dinul Islam Kulluhu) berdasarkan panduan yang telah disediakan Allah kepada hamba-Nya.

Kalau sudah difahami ayat-ayatnya, mudah bagi kita untuk mengamalkan segala yang ada di dalam al-Quran. Manusia membentuk mesin basuh dan menjualkannya di kedai-kedai. Kalaulah orang yang tidak pernah menggunakannya membeli dari kedai lalu dipasang di rumahnya, namun dia tidak tahu cara menggunakannya. Lantas diambil panduan yang disediakan, dibelek-belek dan dibaca serta difahaminya lalu mengamalkan apa yang difahami. Seketika selepas itu, mesin basuh yang dibelinya berfungsi seperti yang diinginkan. Itu baru mesin basuh, benda yang kecil. Cuba kita fikir tentang ‘kehidupan’ kalaulah tiada panduan atau tidak diamalkan panduannya. Apa akan jadi?.

Allah berfirman (maksudnya): “Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu menyintai Allah, maka ikutlah aku (nabi Muhammad) nescaya Allah akan mengasihimu.”
(surah Ali Imran: 31)
Untuk ‘membalas surat cinta itu’ maka Allah telah memberikan kepada kita panduan-Nya iaitu dengan mengikuti nabi Muhammad s.a.w. dalam apa jua perkara, i’tiqadnya, suruhannya, larangannya, dan kehidupannya.

Itulah 114 surah yang diberikan Allah kepada hamba-Nya sebagai panduan hidup di dunia yang merupakan persinggahan untuk menuju alam akhirat yang kekal. Namun ramai yang meremehkan panduan itu, quran dijadikan perhiasan, akal pula yang diagungkan dalam menetapkan undang-undang dan sebagainya. Penting bagi kita umat nabi Muhammad mempelajari al-Quran supaya dapat dibaca,difahami, dan diamalkan, seterusnya disampaikan.
Sayyidina Usman bin Affan r.a. memberitakan bahawa nabi Muhammad s.a.w. bersabda (maksudnya): “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”.
(hadis riwayat Bukhari dalam Sahihnya)

0 komentar:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template