Friday, May 8, 2009

Jentayu Menanti Hujan

Sempena hari ibu pada 13 Mei(walaupun awal lagi)aku ingin berkongsi perasaan yang terasa oleh diri sewaktu di alam kolej dulu...SELAMAT HARI IBU KEPADA PARA IBU YANG TELAH BANYAK BERKORBAN UNTUK ANAK-ANAK.

Perasaanku hiba bila skrin computer memaparkan gambar-gambar keluarga. Aku tenung wajah ibu sepuas hati. Sedih mengenangkan raya haji kali ini aku tidak pulang. Bukan kerana tidak dapat pulang, tapi aku harus berjimat. Cuti semester 2 minggu lepas telah digunakan untuk pulang.

Handphone di sisi terus dicapai, lantas menekan punat-punatnya mencari nombor telefon adikku. Tut…tut…tut…tiga saat berselang kedengaran handphone diangkat. Masih lagi aku ingat pada malam itu aku berborak dengan ibu dengan masa yang lama. Namun terasa bagai lima minit.

Itulah raya pertama aku tanpa keluarga. Masih terbayang di ingatanku betapa rindunya aku ‘laksana jentayu menanti hujan’. Walaupun kampungku tidaklah sejauh kawan-kawan yang lain. Namun perasaan di hati ini tidak dapat dinilai dengan jauhnya jarak.



Tiga tahun telah berlalu, aku di bawah sepohon pokok yang rendang dengan banirnya mencapai pehaku. Mulanya hanya ingin berehat selepas penat berjalan. Ternyata hanya tubuhku yang berehat,otak terus saja berjalan memikirkan apakah hikmah yang bakal Allah berikan pada perjalanan kali ini.

Terfikir aku bagaimanakah perasaan ibuku ketika itu. Berjauhan dengan anak yang tidak pernah ditinggalkan. Tidak pernah lagi dirasakan harinya tanpa melihat anaknya yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh.

Setelah terbiasa meninggalkan kampung halaman, aku makin dapat merasakan kerinduan ibu semakin membara. Masih lagi terbayang di kepala, bagaimana dulu ibu meminta aku menelefonnya sebulan sekali. Namun semakin lama permintaan ibu berubah supaya aku menghubunginya seminggu sekali. Betullah kata orang-orang yang berfikir:
“semakin dewasa seorang anak semakin rindu si ibu kepadanya”.
Hanya si anak seringkali tidak nampak akan perkara itu kerana sememangnya para ibu akan cuba menyembunyikan perasaannya.

Namun aku tidak amanah dengan permintaan ibu. Kadang aku leka, kadang aku lalai, lupa dengan kehidupan dunia yang sementara.
Ya allah, berilah aku kekuatan untuk memenuhi permintaan ibuku…Aku mohon
padaMu ya Allah agar aku tidak menjadi seperti al Qamah melebihkan isteri, tidak
pula seperti Tanggang dongengan anak derhaka. Ya Allah, Kau rahmatilah kedua ibu
bapaku sebagaimana mereka memelihara aku semasa kecil.

0 komentar:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template