Saturday, April 28, 2012

PERMULAAN INSTITUSI KELUARGA (samb.)

Alhamdulillah...hari ini sy ingin menyambung lagi pnulisan yang mungkin tergantung sebelum ini. Dalam permasalahan yang timbul di kalangan remaja, dalam bab yang pertama, iaitu ditujukan kepada ibu-bapa...yang mana menjadi institusi yang pertama dalam membentuk generasi yang baru. Kalau sebelumnya, tulisan ini lebih tertumpu kepada individu yang diberi ruang untuk memilih. Di kesempatan ini pula saya akan bawakan sambungannya...


Bahtera Pertunangan
“Ke mana kita akan melangkah selepas pertunangan?”. Pasti semua orang akan menjawab “ke mana lagi kalau tak ke gerbang perkahwinan”. Nanti dulu, ingatkah kita ayat yang disebutkan oleh Allah di dalam surah Ali Imran ayat 54 yang bermaksud “…mereka merancang, Allah juga merancang, dan sebaik-baik perancang ialah Allah”.

Cuba kita lihat di Malaysia khususnya, banyak bahtera pertunangan yang berakhir dengan karam di lautan. Bermacam alasan yang dikemukakan, namun apa yang perlu dimengertikan ialah perihal jodoh yang tidak kelihatan. Redhalah dengan qadha’ Tuhan, namun ketahuilah nabi menyebut yang diriwayatkan oleh Tirmidzi “tidak akan berubah sesuatu qadha’ melainkan dengan doa”.

Berbalik pada kerosakan muda-mudi di zaman ini, apa yang perlu dimengertikan oleh umat ini adalah umpama buah yang dihasilkan bergantung kepada pokok yang tumbuh dan membesar. Sihat pokok itu, maka sihatlah buahnya. Kalau diselusuri dengan terperinci peringkat pembinaan institusi keluarga, maka kita akan perolehi bahawa pertunangan itu adalah salah satu anak tangganya.

“Apa yang salahnya dengan pertunangan kami?” pertanyaan inilah yang keluar daripada mulut-mulut yang sedang dan telah melalui gerbang pertunangan itu. Apakah kita mengamalkan zaman pertunangan itu mengikut agama atau mengikut adat? Kalau kita mengamalkannya mengikut kehendak agama, alhamdulillah…tapi apa pula kalau sebaliknya.

Perasankah kita dengan apa yang dilakukan semasa melalui jalan menuju alam rumahtangga. Adakah jalan itu lurus tanpa ada penumpang yang jahat yang menginginkan jalan itu dikongsi bersama menuju ke neraka. Ketahuilah olehmu bahawa penumpang itu adalah syaitan laknatullah. Alangkah baiknya jalan yang dilalui itu jalan yang penuh dengan keberkatan, penuh dengan kerahmatan daripada Tuhan yang sememangnya suka kepada kebaikan.

Kebanyakan alam pertunangan di kalangan muda-mudi sekarang banyak yang menyeleweng daripada kaedah sebenar. Mereka menganggap pertunangan itu sebagai tiket untuk mereka berjumpa tanpa segan silu, membonceng ke sana-sini, berborak tak kira waktu. Kalau ditegur, tentu sekali jawapan mereka sama “kami dah bertunang bang”. Itulah yang seringkali saya dengar apabila mengikuti ekspedisi dakwah di tempat-tempat yang menjadi tumpuan mereka.

Tahukah kamu semua, seorang lelaki dan seorang perempuan itu biarpun telah bertunang, hakikatnya mereka berdua tetap warga asing yang tidak diharuskan bergaul bebas atau mendapat apa-apa hak yang diberikan kepada pasangan yang telah berkahwin.



Walaupun telah terikat, namun ia mungkin terputus atau terbuka ikatannya. Oleh sebab itu nabi telah mewasiatkan kepada umatnya supaya merahsiakan hubungan itu melalui sabdanya

“rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan”
(hadis riwayat Ahmad)

Untuk tujuan membina generasi baru yang mempraktikkan ajaran nabi Muhammad dalam kehidupan mereka dan bagi memastikan Islam bukan hanya pada nama, maka peringkat-peringkat baitul muslim mestilah dijaga dan disirami dengan Quran dan sunnah.



Maligai Perkahwinan
Dalam kehidupan ini sudah menjadi fitrah manusia menginginkan pasangan sebagaimana bapa kepada manusia, Adam memohon kepada Allah agar diciptakan seorang teman kerana kesunyian. Lalu Allah menjadikan hawa sebagai isteri kepada Adam.

Namun apakah yang kita faham dengan falsafah perkahwinan. Adakah kita tak terfikir perkahwinan itu bukan sementara, bukan pula untuk memuaskan nafsu semata. Namun perkahwinan itu adalah wadah untuk mendapatkan zuriat dan meramaikan umat nabi Muhammad.

Ramai orang yang menggunakan alasan untuk meramaikan umat Muhammad, alhamdulillah…tapi mereka tidak pula mendidik anak-anak menjadi seorang umat nabi Muhammad yang sebenar. Maka timbullah manusia di hari ini, ramailah remaja yang tidak menjadikan adab dan akhlak islam sebagai penghias diri.

Daripada perkahwinan datangnya zuriat, mereka itu umpama kain yang putih yang menunggu dicorakkan dengan apa juga warnanya, merah, kuning, hijau, biru atau bercampur warnanya. Tetapi ingatlah satu waktu nanti, anak-anak ini akan menyalahkan kedua ibu-bapa jika coraknya begitu jelek.

Siapa patut dipersalahkan dalam hal ini, adakah ibu-bapa atau mereka yang lain. Mungkin ibu bapa mengatakan mereka tidak punya banyak ilmu agama, malahan pula anak-anak banyak menghabiskan masa di sekolah, tambahan ibu bapa bekerja keduanya.

Tidak berfikirkah mereka sebelum melahirkan, sebelum berkahwin. Alasan sebegitu tidaklah memadai kerana banyak anak-anak yang soleh dilahirkan dari kalangan ibu-bapa yang tidak berpendidikan agama, dari kalangan ibu-bapa yang bekerja, malah anak-anaknya tinggal di asrama.



Permulaan Tarbiyyah
Ingatlah wahai para suami, kita semua akan dipertanggung-jawabkan… Suami adalah pengemudi bahtera, jika betul haluannya maka bahtera itu akan sampai ke tempat yang dituju dengan cepat dan selamat.

Isteri-isteri adalah amanah bagi kita para suami, jangan disia-siakan amanah itu yang datangnya dari Allah. Isteri juga adalah jalan antara dua jalan, ke syurga atau ke neraka.
Pilihlah wahai para suami, jalan keredhaan atau jalan kemurkaan.

“Isterimu adalah kebun bagimu maka datangilah kebunmu dengan cara mana yang kamu mahu” (al baqarah: 223).
Namun Allah tidak membenarkan nafsu dipuaskan melalui dubur atau disebut anal sex. Siapa tidak mahu anak yang soleh…tapi doa tidak dibaca ketika mendatangi isteri, Allah dilupakan lantaran nafsu.

Doa itulah tarbiyyah ibu-bapa kepada anak yang bakal lahir. Jika Allah sentiasa di hati, penumpang yang jahat tidak kesampaian untuk berkongsi jalan. Doa itu senjata bagi umat Islam.

Suami juga mestilah mencurahkan nafkah zahir dan batin. Apa yang nak disebut di sini ialah nafkah batin yang berupa ilmu agama dan akhlak islamiah yang wajib diberikan kepada tanggungan yang terdiri daripada isteri dan anak.

Kalaulah si suami memberi didikan agama kepada isterinya, nescaya keruntuhan moral di kalangan anak muda zaman ini tidak seteruk yang dilihat. Allah berfirman yang bermaksud:
“wahai orang-orang yang beriman jagalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka”
( surah Tahrim: 6 )

Suami juga ada disebut oleh nabi di kalangan 4 orang yang ditarik oleh wanita ke neraka. Mereka itulah yang tidak menjaga ahli keluarganya seperti yang telah disuruh Allah. Apakah mungkin kita dapat menghindari keruntuhan moral di kalangan muda mudi jika ibu bapa tidak mengambil kisah dengan pentarbiyahan anak-anak mereka.

Monday, April 2, 2012

PERMULAAN INSTITUSI KELUARGA

Sebelum ini, saya ada menulis satu persoalan yang telah diketengahkan dalam satu kem ibadah dan telah merumuskan beberapa faktor (daripada jawapan peserta) yang menyumbangkan kepada berlakunya keruntuhan moral dan kebiadaban kebanyakan remaja kini. Di kesempatan ini saya ingin mengemukakan faktor daripada IBU-BAPA.

Sebagaimana peringkat yang dikemukakan oleh sebahagian ahli gerakan islam dalam membentuk semula khilafah Islam, baitul muslim atau pembinaan keluarga muslim diletakkan di tangga kedua selepas individu muslim dan diikuti dengan masyarakat Islam, negara Islam, dan menuju kepada khilafah Islam.

Baitul muslim sangat penting ke arah menuju khilafah kerana daripada situlah dapat melahirkan generasi baru yang berjiwa pemimpin dan mengamalkan Islam secara keseluruhannya sesuai dengan firman Allah dalam surah al baqarah ayat 208 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman,masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.”.

Membentuk baitul muslim merupakan satu himpunan dua manusia berbeza jantina dengan akad yang disertakan dengan saksi dan disetujui wali. Adakah cukup sekadar semua itu untuk membina generasi yang mengamalkan Islam seluruhnya?.

Ke manakah hilangnya kewalian Abu Bakar as-siddiq, kepahlawanan Umar al-khattab, dan keadilan Umar Abd Aziz, ke mana perginya sifat kewanitaan Fatimah az-zahra, Khadijah al-kubra, dan Aisyah ar-ridha. Mereka semua telah mempraktikkan ajaran rasulullah dengan sepenuh jiwa.

Anak remaja malahan yang telah dewasa sekalipun di hari ini ada yang tidak mengenali nama sahabat-sahabat nabi apatah lagi sifat-sifat mereka. Minat mereka tidak lagi kepada sirah-sirah Islam.Ramai yang telah terpedaya dengan 3F yang dibawa oleh yahudi iaitu food, fasion, dan fun.

Maka dimanakah kita ketika ini?. Wahai umat nabi Muhammad, marilah sama-sama kita menjadikan Islam sebagai kehidupan kita. Kita berganding bahu membanteras kepupusan adab-adab dan akhlak-akhlak yang ditunjukkan oleh nabi kita Muhammad s.a.w. Mulakanlah dengan diri kita dan seterusnya pilihlah isteri daripada kategori yang telah disarankan oleh nabi Muhammad s.a.w.

Bijak Memilih
Kalau dulu dalam bab kahwin pun ibu bapa yang tentukan, anak-anak hanya ikut tanpa membantah. Di sini dapat kita lihat ketaatan anak terhadap ibu bapa, tetapi kalau hari ini bolehkah kita mengiyakannya. Mungkin segelintir sahaja yang sanggup.

Suasana sekarang telah banyak berubah dibanding dengan puluhan tahun dulu. Kalau dulu pembangunan tidak di tahap membanggakan, namun mereka punyai adat. Tidak dinafikan banyak adat yang menyalahi agama.

Apa yang penting adat yang tidak menyalahi agama, kita terima agar dapat merealisasikan tujuan adat itu. Agama dan tatasusila adat Melayu, berfungsi untuk membentuk sebuah kehidupan yang sopan, berseni dalam berakhlak supaya cantik dipandang, sedap didengar, dan manis dirasa.

Memilih isteri bukannya perkara senang. Keputusan itulah yang akan dibawa sampai mati malahan sampai ke alam yang satu lagi (akhirat). Kalau pilih sayur atau ikan di kedai mudah je, cari yang segar. Tapi nak cari isteri macamana?.

Baliklah kita kepada wasiat nabi Muhammad supaya berpegang kepada al-Quran dan sunnahnya nescaya tidak akan sesat selama-lamanya. Dari itu carilah isteri seperti yang telah disarankan oleh nabi…kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya, maka pilihlah agamanya (lebih baik bagi kamu).

Sanggupkah kita memilih yang beragama, sedangkan diri kita tidak punya ilmu agama. Apakah tanggung jawab isteri atau tanggung jawab suami untuk menafkahkan didikan agama. Ayuhlah wahai para pemuda, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin bermula dari buaian hingga ke liang lahad.

Allah telahpun menggariskan doa di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: wahai Tuhan kami,jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang yang bertaqwa”.
(surah al Furqan: 74)

Jika agama yang dijadikan ukuran, mungkin budaya couple tidak terjadi, kalau mereka hendak keluar pun mereka tidak keluar berdua tanpa membawa mahramnya bersama dan menjaga batas-batas pergaulan.

Apa yang istimewanya cinta sebelum kahwin yang dibanggakn oleh segelintir pemuda pemudi zaman ini, sedangkan banyak langkah-langkah syaitan yang diikuti tanpa disedari. Mereka menganggap diri mereka masih berada di atas landasan syariat, namun yang terjadi adalah sebaliknya.


bersambung...

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template