Monday, April 2, 2012

PERMULAAN INSTITUSI KELUARGA

Sebelum ini, saya ada menulis satu persoalan yang telah diketengahkan dalam satu kem ibadah dan telah merumuskan beberapa faktor (daripada jawapan peserta) yang menyumbangkan kepada berlakunya keruntuhan moral dan kebiadaban kebanyakan remaja kini. Di kesempatan ini saya ingin mengemukakan faktor daripada IBU-BAPA.

Sebagaimana peringkat yang dikemukakan oleh sebahagian ahli gerakan islam dalam membentuk semula khilafah Islam, baitul muslim atau pembinaan keluarga muslim diletakkan di tangga kedua selepas individu muslim dan diikuti dengan masyarakat Islam, negara Islam, dan menuju kepada khilafah Islam.

Baitul muslim sangat penting ke arah menuju khilafah kerana daripada situlah dapat melahirkan generasi baru yang berjiwa pemimpin dan mengamalkan Islam secara keseluruhannya sesuai dengan firman Allah dalam surah al baqarah ayat 208 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman,masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.”.

Membentuk baitul muslim merupakan satu himpunan dua manusia berbeza jantina dengan akad yang disertakan dengan saksi dan disetujui wali. Adakah cukup sekadar semua itu untuk membina generasi yang mengamalkan Islam seluruhnya?.

Ke manakah hilangnya kewalian Abu Bakar as-siddiq, kepahlawanan Umar al-khattab, dan keadilan Umar Abd Aziz, ke mana perginya sifat kewanitaan Fatimah az-zahra, Khadijah al-kubra, dan Aisyah ar-ridha. Mereka semua telah mempraktikkan ajaran rasulullah dengan sepenuh jiwa.

Anak remaja malahan yang telah dewasa sekalipun di hari ini ada yang tidak mengenali nama sahabat-sahabat nabi apatah lagi sifat-sifat mereka. Minat mereka tidak lagi kepada sirah-sirah Islam.Ramai yang telah terpedaya dengan 3F yang dibawa oleh yahudi iaitu food, fasion, dan fun.

Maka dimanakah kita ketika ini?. Wahai umat nabi Muhammad, marilah sama-sama kita menjadikan Islam sebagai kehidupan kita. Kita berganding bahu membanteras kepupusan adab-adab dan akhlak-akhlak yang ditunjukkan oleh nabi kita Muhammad s.a.w. Mulakanlah dengan diri kita dan seterusnya pilihlah isteri daripada kategori yang telah disarankan oleh nabi Muhammad s.a.w.

Bijak Memilih
Kalau dulu dalam bab kahwin pun ibu bapa yang tentukan, anak-anak hanya ikut tanpa membantah. Di sini dapat kita lihat ketaatan anak terhadap ibu bapa, tetapi kalau hari ini bolehkah kita mengiyakannya. Mungkin segelintir sahaja yang sanggup.

Suasana sekarang telah banyak berubah dibanding dengan puluhan tahun dulu. Kalau dulu pembangunan tidak di tahap membanggakan, namun mereka punyai adat. Tidak dinafikan banyak adat yang menyalahi agama.

Apa yang penting adat yang tidak menyalahi agama, kita terima agar dapat merealisasikan tujuan adat itu. Agama dan tatasusila adat Melayu, berfungsi untuk membentuk sebuah kehidupan yang sopan, berseni dalam berakhlak supaya cantik dipandang, sedap didengar, dan manis dirasa.

Memilih isteri bukannya perkara senang. Keputusan itulah yang akan dibawa sampai mati malahan sampai ke alam yang satu lagi (akhirat). Kalau pilih sayur atau ikan di kedai mudah je, cari yang segar. Tapi nak cari isteri macamana?.

Baliklah kita kepada wasiat nabi Muhammad supaya berpegang kepada al-Quran dan sunnahnya nescaya tidak akan sesat selama-lamanya. Dari itu carilah isteri seperti yang telah disarankan oleh nabi…kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya, maka pilihlah agamanya (lebih baik bagi kamu).

Sanggupkah kita memilih yang beragama, sedangkan diri kita tidak punya ilmu agama. Apakah tanggung jawab isteri atau tanggung jawab suami untuk menafkahkan didikan agama. Ayuhlah wahai para pemuda, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin bermula dari buaian hingga ke liang lahad.

Allah telahpun menggariskan doa di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: wahai Tuhan kami,jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang yang bertaqwa”.
(surah al Furqan: 74)

Jika agama yang dijadikan ukuran, mungkin budaya couple tidak terjadi, kalau mereka hendak keluar pun mereka tidak keluar berdua tanpa membawa mahramnya bersama dan menjaga batas-batas pergaulan.

Apa yang istimewanya cinta sebelum kahwin yang dibanggakn oleh segelintir pemuda pemudi zaman ini, sedangkan banyak langkah-langkah syaitan yang diikuti tanpa disedari. Mereka menganggap diri mereka masih berada di atas landasan syariat, namun yang terjadi adalah sebaliknya.


bersambung...

0 komentar:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template