Wednesday, October 17, 2012

UKHWAH GEN 5: KINABALU MELAMBAI

“Hello… Assalamualaikum, anta katne Zim?” Pertanyaan pertama yang keluar daripadaku tatkala panggilanku disambut oleh Azim. Kami bertujuh termasuk Muhammad Azim, anak kepada akhi Zaki dan Masyitah menunggu beberapa ketika setelah Azim memberitahu akan sampai sebentar lagi bersama sahabat kami Saipul yang merangkap juru pandu sepanjang berada di Sabah.

Setelah melepasi pemeriksaan imegresen, kami hanya duduk menunggu di Terminal 2, Kota Kinabalu International Airport, KKIA. Azim dan sahabat yang lain tiba di terminal dengan hati yang girang, namun kami terpaksa menunggu empat lagi sahabiah yang ketinggalan penerbangan pertama. Selepas dua jam setengah daripada LCCT, mereka semua tiba di terminal. Kami menuju ke Kundasang yang mengambil masa lebih kurang dua jam.

Kundasang
Dalam perjalanan, bermacam cerita dan luahan yang keluar daripada kami. Maklumlah baru bersua setelah sekian lama. Cerita masa dulu, sewaktu bersama dalam satu pengajian mencari sedikit ilmu. Pengalaman bersama diluahkan kembali dalam masa yang sesingkat perjalanan ke Kundasang.

Jalan berbukit dan berliku menghilangkan rasa mengantuk yang sentiasa mendampingi mata semasa dalam perjalanan. Namun ada juga yang kalah di pertengahan, dibuai mimpi sebagai permainan.

Jam di tangan menunjukkan 4.55 petang. Kereta Proton Saga milik Saipul berhenti di suatu tempat yang seakan pasar. “kita telah sampai ke Kundasang, nun di atas sana adalah tempat penginapan kita semua.” Tidak berapa lama di situ dengan udaranya yang sejuk, kami menuju ke Walai Tokou Homestay. “Selamat datang ke Kundasang” sambut abang Daimin dengan kemesraan. Abang Daimin ialah pemilik Walai Tokou Homestay dan merupakan seorang guru.

Malam pertama di Sabah, kami hanya berjalan-jalan di sekitar Pasar Kundasang menghirup udara malam yang amat sejuk. Sugguh indah kejadian alam yang Allah ciptakan. Sejuk, panas, lembab dan kering semuanya ada hikmah untuk manusia. Adakah manusia berfikir.


Ni’mat Tuhan
Pagi itu, hari jumaat 5 oktober 2012, kami ke Taman Kinabalu yang tidak jauh daripada tempat penginapan. Kami meredah Kinabalu walau hanya menggunakan van. Kesejukan menggigit tubuh. Mujur semuanya bertemankan baju sejuk yang dibawa bersama menjadi sahabat karib sepanjang berada di Sabah.

Di situ kami diberi peluang berucap seorang demi seorang. Bermacam madah yang ditutur oleh sahabat-sahabiah. Hari itu juga di tempat yang sama, modul dicipta, epal dikupas bersama tanpa terputus kulitnya. Walau hanya begitu rupa, kami faham maksudnya. Ukhwah bermula tidak terpadam selamanya dan membawa ke Syurga.

Kegembiraan di Taman Kinabalu, Ladang Lembu Kundasang, Ladang Teh Sabah dan Kolam Air Panas Ranau. Semuanya kami abadikan dalam kenangan.

Iman Diuji
Pulau Manukan dan pulau Memutik, itulah dua pulau yang kami kunjungi semasa berada di Sabah. Selepas urusan pembelian tiket selesai, kami memulakan perjalanan ke pulau Manukan. Lebih kurang 10 minit berada dalam bot, kami tiba di jeti.

Pemandangan yang indah dek kehijauan pokok-pokok dengan dihiasi batu-batu menjadikan kami sangat teruja dengan ciptaan Allah. Air yang jernih memungkinkan kami melihat isinya yang pelbagai. Ikan yang berlegar, terumbu karang yang berkilau dan juga batu-batu menghiasi pemandangan mata. “Subhanallah…maha suciMu ya Allah” diriku bermonolog.

Namun aku kecewa bila mana keindahan itu dicemari dengan aksi jemuran orang putih dan lagak warga asing yang hanya berbaju mandi. Tetapi patutkah kita salahkan mereka.kenapa tidak bertanya pada diri, patutkah aku mendatangi tempat sebegini. Imanku teruji…

Pandangan mata harus ditundukkan, nafsu muda harus dikawal. Tetapi aku percaya, bila di tempat sebegitu rupa…kita takkan terlepas dari dosa. Mungkin ujian besar ini tidak terasa jika iman tidak menebal di dada.


Dalam keletihan bermain dengan kemasinan pantai, kami pulang ke Kundasang dengan tujuan merebahkan badan di atas tilam yang empuk. Aku tidak tahu apa yang berlaku di sepanjang perjalanan pada malam itu. Aku rebah, kalah dengan keletihan yang menimpa. Hanya tersedar dari lena bila van telah berhenti di hadapan rumah penginapan.

Selamat Tinggal Sabah
Ahad, 7 Oktober 2012… Selepas membeli belah di Kota Kinabalu, kami tahu akan meninggalkan Sabah, negeri bawah bayu itu. Entah bila lagi kami akan sampai lagi. Kami juga tahu perjumpaan ini akan ditangguhkan sehingga ke hari dan waktu yang telah ditentukan.

Kenangan-kenangan disimpan dalam kotak pemikiran, diabadikan sebagai kenangan berharga bagi kami semua. Selamat tinggal Sabah… Walaupun masih banyak lagi tempat yang belum kami jejaki. Namun kami berpuas hati dengan program ini yang mengumpulkan sahabat-sahabiah dari keluarga Gen-5.


1 komentar:

nini said...

bestnya p sabah...saya rindu sabah....

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template